rap

Zul Ariffin jadi hos, lucu cerita tentang artis lain

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Zul Ariffin berkongsi rasa seronoknya dapat menjadi hos program Melodi bersama Janna Nick dan teruja mampu memberanikan diri untuk menyahut cabaran mengacara buat pertama kali.

Zul atau nama sebenar Zulkifli Ariffin, 34, berkata dia mendapat banyak pengalaman baru, apalagi selama ini fokusnya hanya ditumpu pada kerjaya dalam bidang lakonan.

"Rasa gementar itu pasti ada, apalagi ia perkara baharu buat saya. Namun, saya tidak mahu terlalu menekan diri kerana ia percubaan pertama.

"Apa yang saya buat adalah menjadi diri sendiri sahaja sepanjang mengacara di samping Janna. Dalam fikiran saya, cuma mahu berseronok dengan tugasan itu.

"Disebabkan itu, saya tunjukkan gaya penyampaian yang semula jadi tanpa melebih-lebih atau berpura-pura. Yang penting, saya dapat sampaikan setiap maklumat dengan baik," katanya.

Pelakon filem.J Revolusi itu turut memuji keseluruhan produksi Melodi yang sangat membantu melancarkan tugasannya sewaktu siaran langsung program itu.

"Cabaran saya banyak pada bahagian teknikal, di mana saya kurang biasa dapat arahan menerusi mikrofon telinga selain kena tengok banyak kamera.

"Bagaimanapun, saya puji pasukan Melodi yang tidak lokek membantu saya termasuk Janna sendiri. Mujur Janna ada sebagai teman, kalau buat sendiri, memang saya tak mampu," katanya.

Dalam pada itu, Zul mengakui agak lucu juga apabila dia mengacarakan program hiburan yang mana cerita mengenai dirinya sering menjadi antara kandungan program.

"Tidaklah sampai rasa canggung, cuma agak kelakar apabila saya pula yang bercerita mengenai artis lain. Maklumlah, saya sendiri sebelum ini pun kerap jadi material program berikutan pelbagai gosip.

"Apapun, saya tidak menolak untuk melakukannya lagi pada masa hadapan. Pastinya, pengalaman itu akan mengajar saya untuk memperbaiki lagi kemahiran kelak," katanya.

/

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 11:44pm
d