rap

Coretan untuk isteri

Oleh Agensi

KOMPOSER ternama Itali, Ennio Morricone yang meninggal dunia pada usia 91 tahun Isnin lalu sempat menulis coretan indah buat isterinya, Maria dan keluarga sebagai kenangan.

Morricone yang patah tulang paha, meninggal dunia di sebuah klinik di Rom.

Kematian pemenang Oscars yang sudah menghasilkan 500 skor filem sepanjang aktif dalam kerjaya muzik itu disahkan peguamnya, Giorgio Assumma.

Assumma dalam kenyataannya memaklumkan Morricone menulis nots selamat tinggal kepada isteri tercinta, Maria yang menemaninya dengan penuh dedikasi dalam setiap saat kehidupan dan sentiasa ada di sisi sehingga dia menghembuskan nafas terakhir.

Dia juga berterima kasih kepada anak dan cucunya atas kasih dan perhatian yang mereka berikan kepadanya.

"Morricone turut memberi peringatan menyentuh hati kepada penonton yang menyokongannya penuh kasih sayang untuk dia selalu kreatif dalam berkarya," katanya.

Selain itu, Assumma juga membaca surat ditulis sendiri oleh Morricone mengenai kematiannnya yang begitu menyentuh hati dan menjadi kenangan terakhir buat isteri, keluarga dan semua kenalan rapat.

"Saya, Ennio Morricone sudah mati. Oleh itu, saya mengumumkannyakepada semua rakan yang selalu dekat dengan saya dan juga kepada mereka yang agak jauh, tetapi saya sambut dengan penuh kasih sayang," tulisnya.

Morricone juga menulis, mustahil untuk dia menamakan semua orang yang banyak memberi sokongan, tetapi cukup sekadar menyebut anggota keluarga dan teman rapatnya, selain ucapan terakhir buat isteri tersayang.

"Saya bangga dengan cinta yang luar biasa yang menyatukan kita. Saya minta maaf kerana meninggalkan anda kerana perpisahan ini yang paling menyakitkan kita," tulisnya.

Morricone yang dilahirkan di Rom pernah memenangi Oscars untuk skor muzik menerusi filem The Hateful Eight yang diterbitkan pada 2015. Melalui filem sama, dia juga memenangi Anugerah Golden Globe.

Berikutan kehebatannya dalam kerjaya yang sentiasa mendapat pujan, Morricone pernah memenangi Oscars untuk Pencapaian Seumur Hidup pada 2007.

Morricone juga pernah menang empat anugerah di Grammy Awards dan puluhan anugerah berprestij antarabangsa.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 10:40am
d