rap

Inspirasi Drama Band dari surah Al-Isra'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI band popular Drama Band, Aepul Roza tidak menolak sekiranya single baharu mereka yang akan dilancarkan malam esok akan menerima kritikan daripada warganet seperti mana single terdahulu mereka.

Aepul berkata, single baru berjudul JBKT ciptaan Drama Band itu menyajikan mesej berbeza dan diinspirasikan daripada surah Al-Isra'.

"JBKT atau Jangan Bikin Kerja Tuhan dan diinspirasikan daripada ayat 85 dalam surah Al-Isra'. Seperti biasa, tentunya kalau setiap kali Drama Band keluarkan lagu baru, mesti akan ada kritikan yang kami terima. Tapi, kandungan karya kali ini berbeza daripada sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Satu lagi inspirasi mereka adalah apa yang berlaku di media sosial hari ini mengenai sikap sesetengah manusia yang suka menjatuhkan hukum kepada orang lain.

"Saya sendiri tak sangka ramai berikan maklum balas dan itu sekali gus memberi semangat untuk kami siapkan lagu ini dalam masa dua hari saja," katanya.

Video muzik JBKT juga akan dilancarkan malam esok di YouTube dan dalam salah satu babak semua anggota Drama Band memakai kain kafan.

"Itu adalah salah satu kandungan untuk menambah rencah dan mengingatkan kita semua kepada kematian. Hari ini, ramai yang menghakimi orang lain, sedangkan bukan hak kita untuk menghukum baik buruk seseorang kerana itu adalah kerja Tuhan," katanya.

Drama Band sebelum ini tampil dengan beberapa single yang dianggap sebagai sindiran kepada beberapa individu popular tanah air.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 6:03pm
d