rap

FINAS bantu penggiat industri muzik

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serius memainkan peranan dalam industri seni apabila bertindak menubuhkan jawatankuasa sementara industri muzik bagi membantu penggiat seni yang terjejas akibat penularan Covid-19.

  FINAS dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, ia dibuat berikutan mereka menerima memorandum daripada persatuan muzik pada 7 Julai lalu.

 "Keputusan ini dicapai menerusi mesyuarat ahli perbadanan yang diketuai Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, semalam," katanya.

 Menerusi kenyataan sama, dinyatakan beberapa keputusan penting lain dibuat terutama membabitkan industri perfileman tempatan.

 "Beberapa keputusan penting lain turut dibuat iaitu pelanjutan tempoh pengecualian syarat permohonan lesen pengeluaran filem kepada pengusaha filem bagi permohonan lesen baharu dan pembaharuan lesen di Sabah dan Sarawak untuk tempoh dua tahun bermula bermula 2 Oktober tahun ini sehingga 1 Oktober 2022.

 "Antara pengecualian diberi adalah pengecualian dari pemohon lesen mendaftarkan perniagaan sebagai Syarikat Sdn Bhd dan syarat modal berbayar sebanyak RM50,000 serta berdaftar dengan persatuan perfileman.

 "Juga pengecualian keahlian persatuan perfileman. Bagaimanapun, syarat sedia ada adalah kekal kepada pemohon yang ingin menerbitkan filem cereka untuk tayangan di pawagam," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 2:06pm
d