rap

Tempurung kepala Gbob dipasang semula September

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"ALHAMDULILLAH...keadaannya sekarang nampak lebih sihat berbanding ketika awal-awal terlantar dulu," kata Che Mat Raja Lawak mengulas situasi kesihatan terkini rakannya yang juga pelawak, Gbob.

Gbob, 33, atau nama sebenarnya Hamizi Hashim terjatuh dalam bilik air di rumahnya akibat serangan angin ahmar pada 5 Mac lalu dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Dia seterusnya menjalani pembedahan membuang darah beku dan berehat di rumah untuk proses pemulihan.

"Keadaan Gbob dikira beransur pulih. Dia pun dah boleh bercakap dengan jelas. Cuma kadang-kadang terganggu kerana tempurung kepalanya dicabut dan akan dipasang semula pada September nanti.

"Dia juga dah mula boleh berjalan dalam empat lima tapak. Tapi hanya bahagian badan sebelah kiri sahaja boleh digunakan.

"Dia perlu dipapah untuk berjalan. Perkembangannya nampak bagus. Apabila nampak saya datang melawatnya Khamis lalu, dia sangat ceria," katanya kepada Harian Metro.

Che Mat berkata, Gbob menitiskan air mata terharu dengan kunjungan mereka, namun lama kelamaan suasana bertukar ceria dengan lawak jenakanya.

"Langsung tak nampak sangat dia sakit. Cuma kesukaran bergerak sahaja dan badannya susut sedikit tapi yang lain-lain semuanya kelihatan okay.

"Dia pun tahu keadaan semasa seperti Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Keadaannya berbeza ketika mula-mula sakit dan terlantar kerana waktu itu dia memang tak sedar dan saya tengok peluang untuknya sembuh agak tipis," katanya.

Che Mat yang pernah menyertai Maharaja Lawak Mega 2019 bersama Gbob dan Azrul Zaidi menyifatkan perubahan positif ini berkat doa rakan-rakan dan peminat.

"Terima kasih buat semua. Doktor jangka selepas tempurung kepalanya di pasang nanti, proses untuk Gbob sembuh akan bertambah cepat.

"Ia mungkin sekitar dua hingga tiga bulan. Setakat ini dia dah pulih dalam 90 peratus," katanya.

Terdahulu, Gbob yang berkahwin dengan Siti Aisyah Wahiddin, 38, dan mempunyai seorang anak, Nur Humairah, 2, turut menjalani pembedahan membuang ketumbuhan atau cyst pada bahagian tekak pada hujung Jun lalu.

Gbob pernah membintang filem Halim Munan, Strawberi Cinta dan Operasi X serta pelbagai drama antaranya Nasi Minyak Kuah Cinta dan terbaru Bila Hati Berbisik.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 1:41pm
d