rap

Raffi Ahmad sertai politik?

Oleh Agensi

PENGACARA, pelakon dan penyanyi Indonesia, Raffi Ahmad, 33, dikatakan akan menyertai politik selepas mendapat tawaran menjadi calon wakil Datuk Bandar Tangerang Selatan di Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2020.

Tawaran terbabit disampaikan anak wakil Presiden Ma'ruf Amin, Siti Nur Azizah dan suaminya yang juga anggota DPR RI, Rapsel Ali ketika berkunjung ke rumah Raffi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Raffi belum membuat keputusan dan masih memikirkan tawaran itu.

"Ini suatu penghormatan, apatah lagi apabila beliau datang ke rumah untuk tujuan ini. Saya akan fikirkan terlebih dahulu dan yang pastinya jika ia perkara baik, Insya-Allah akan dapat keputusan terbaik," katanya.

Ditanya apakah dia mempunyai kekuatan untuk menyertai politik, Raffi mengakui masih bingung memikirkan hal terbabit.

"Sama halnya ketika saya menjadi artis kerana saya tak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang artis. Tak tahulah kenapa saya jadi artis. Ya, saya hanya mengikut arus. Yang penting niat kita baik untuk menjadi apa-apa pun. Jika niatnya baik, jalannya juga baik," katanya dalam satu temubual.

Suami kepada pelakon, Nagita Slavina itu berkata, dia tidak mampu meletakkan sasaran pada usia berapa mahu terbabit secara serius dalam politik.

"Saya sedang merancang untuk memiliki anak lagi. Buat masa ini saya masih mempunyai impian untuk menambah anak dulu.

"Saya dan isteri sebenarnya tak mengikuti apa-apa program untuk tambah anak. Namun kami hanya berharap dapat berikan adik untuk Rafathar Malik Ahmad yang sekarang sudah berusia lima tahun," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 2:52pm
d