rap

Famili tertekan

Oleh Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Konflik pengurusan dengan artis memberi kesan terhadap kerjaya mereka.

Itu juga situasi getir yang melanda pelakon Shin Hyun Joon selepas kemelut dihadapi bersama bekas pengurusnya, Kim Gwang Seob.

Disebabkan kontroversi itu, impaknya hingga membuatkan seluruh keluarga pelakon terbabit kini tertekan.

Agensinya HJ Film terpaksa memutuskan untuk meminta stesen KBS menghentikan seketika penggambaran Return of Superman yang membabitkan Hyun Joon.

HJ Film dalam satu kenyataan berkata, mereka tidak mahu berlaku gangguan atau kerosakan tidak diingini sekiranya Hyun Joon meneruskannya.

Mereka berjanji untuk menyelesaikan kemelut terbabit secepat mungkin.

"Keluarga Hyun Joon kini sangat tertekan. Untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk, kami meminta penggambaran Return of Superman dihentikan buat seketika.

"Kami meminta mereka untuk tidak menampilkan keluarganya dalam rancangan itu buat masa ini. Kami akan lakukan yang terbaik bagi menyelesaikan isu berlaku sekarang itu," kata agensi itu.

Pada 9 Julai lalu, Gwang Seob yang juga bekas pengarah agensi terbabit mendakwa Hyun Joon melayannya dengan teruk selama 13 tahun.

Banyak tindakan Hyun Joon didedahkan bagi menyokong dakwaannya itu.

Ia termasuk bekas pengurus itu dibayar gaji yang sangat rendah, ditengking, dipaksa menjaga ibu Hyun Joon dan tidak diberikan kontrak rasmi.

Bagaimanapun, pelakon itu dan HJ Film menafikan tuduhan terbabit.

Isnin lalu, Gwang Seob mendedahkan teks mesej siri perbualan antara dia dan pelakon itu.

Sekali lagi, Hyun Joon dan agensi terbabit menafikan kesahihan perkongsian terbabit.

Mereka mendakwa teks mesej itu disunting untuk tujuan fitnah serta mengumumkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Gwang Seob.

Kemelut itu bertambah rumit apabila bekas pengurus terbabit turut menghantar tuduhan bertulis ke Balai Polis Gangnam Seoul.

Dia meminta kes membabitkan Hyun Joon yang didakwa mengambil dadah profopol pada 2010 disiasat semula.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 6:30am
d