rap

Penghormatan buat Ejen Ali The Movie

Oleh Georgie Joseph

FILEM tempatan paling laris tahun lalu, Ejen Ali The Movie akan menyertai dua festival filem bertaraf antarabangsa iaitu Anugerah Cartoons on the Bay 2020 (COTB2020) di Itali dan Asean Film Week 2020 (AFW) di Vietnam bulan ini dan Disember depan.

Filem animasi terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation Sdn Bhd itu antara 16 filem yang akan bertanding dalam kategori Anugerah Filem Animasi Terbaik di COTB2020 pada 3 hingga 5 Disember ini di Pescara, Itali.

Di AFW pula, Ejen Ali The Movie diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam festival yang akan berlangsung di tiga buah bandar besar Vietnam iaitu Hanoi, Ho Chi Minh dan Da Nang pada 20 hingga 24 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, pencapaian itu membuktikan produk animasi tempatan semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana diyakini kualitinya.

"Ia adalah satu penghormatan besar buat Malaysia dan kami bagi memulakan fasa kedua tahun 2020 dengan menyaksikan pencapaian Ejen Ali The Movie di persada festival filem antarabangsa.

"Ia menjadi titik tolak kejayaan yang membanggakan filem ini kerana dapat berada seiring dengan pengkarya kreatif animasi terbaik antarabangsa lain. Syabas Wau Animation atas pencapaian menghasilkan dunia animasi yang unggul dengan penceritaan indah yang dilihat dalam filem ini," katanya.

COTB yang mula diperkenalkan pada 1996 itu bertujuan untuk mengiktiraf karya animasi Itali. Kemudian ia mula mendapat perhatian dan menjadi antara acara terpenting dalam kalendar industri kanak-kanak antarabangsa.

Panel juri antarabangsa yang terpilih untuk menilai kategori filem pada tahun ini adalah Stefania Ulivi (wartawan, Corriere della Sera), Arianna Finos (wartawan, La Repubblica) dan Flavio Natalia (Pengarah dan wartawan, CIAK).

Terdahulu, filem yang diterbitkan susulan kejayaan siri animasi Ejen Ali sejak 2016 itu berjaya mencatat kutipan sebanyak RM30.8 juta sekali gus menjadi filem tempatan dengan kutipan paling tinggi tahun lalu.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 4:26pm
d