rap

Ernie Zakri, Syamel kahwin tahun depan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

"SETAKAT ini calonnya adalah seperti yang anda semua sudah dengar. Jadi, doakan semoga semuanya dipermudahkan," kata penyanyi, Ernie Zakri yang merancang untuk melangsungkan pernikahan menjelang tahun depan.

Ernie ketika ditemui tidak menafikan calon suaminya adalah rakan seperjuangannya yang juga penyanyi popular, Syamel.

"Dia ada ciri-ciri suami idaman saya, cuma kami belum mengenali satu sama lain dengan cukup mendalam. Yang pasti, ciri-ciri utama adalah dia menghormati ibu bapa saya," katanya.

Ernie dan Syamel sering dikaitkan bercinta lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya berduet dalam lagu Aku Cinta.

"Doakan semoga saya dapat menamatkan zaman bujang menjelang tahun depan kerana tahun depan usia saya sudah 29 tahun," katanya.

Menurutnya, tahun ini dia perlu fokus kepada karier dan ibu bapanya.

"Dalam keluarga, hanya saya yang belum berkahwin. Jadi, ini masanya untuk saya jaga kedua-dua ibu bapa dan fokus saya adalah untuk mencari rezeki.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, banyak yang berlaku dan sekarang masanya untuk kita susun semula kerja-kerja yang tergendala," katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 12:27pm
d