rap

Program Salam Baitullah 2020 tetap diteruskan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PROGRAM Salam Baitullah 2020 terbitan RTM tetap diteruskan walaupun ibadah haji membabitkan jemaah tanah air tahun ini ditangguhkan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Program yang memasuki edisi ke-12 dengan tema Salam Baitullah, Suatu Kerinduan itu membawakan konsep berbeza daripada musim terdahulu yang mana ia bakal disiarkan secara langsung bermula esok sehingga 1 Ogos ini, jam 9 malam.

Penerbitnya, Mohammed Shahril Sarapudin berkata, penerbitan program itu adalah bukti komitmen RTM memberikan liputan dan menyalurkan maklumat terkini sepanjang perjalanan musim haji di Arab Saudi.

"Walaupun dalam suasana tiada pergerakan petugas dan jemaah negara kita ke Tanah Suci tahun ini, tapi kita tetap terbitkan program ini. Disebabkan itu kita memilih tema Salam Baitullah, Suatu Kerinduan. Kita mahu penonton sama ada yang sudah pernah menunaikan haji atau belum tetap merasai suasana ibadah haji tahun ini.

"Dalam masa sama, kita juga bertuah kerana mendapat sokongan daripada rakyat atau pelajar Malaysia yang menetap di sana dengan mengirimkan video. Jadi, walaupun tidak ada kru, kita masih boleh menayangkan visual berkenaan situasi semasa di Makkah dan Madinah," katanya.

Menariknya, musim kali ini menampilkan tiga pengacara iaitu Ustaz Muhammad Hafiz Haneefa dan Ustaz Azman Syah selaku pengacara tetap dan Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud selaku pengacara segmen selain memperkenalkan tujuh segmen sepanjang satu jam bersiaran.

Segmen itu adalah Bersama Panel di Studio, Ibrah Haji, Khabar Tanah Suci, Bacaan Ayat Suci Al-Quran, Rehlah Haramain, Cinta Haramain dan Kuiz Harian dan Terkumpul.

Mengulas mengenai pemilihan ketiga-tiga pengacara itu, Shahril berkata, ia berdasarkan pengetahuan mereka dalam mengupas setiap topik yang dibawa.

"Ketiga-tiga mereka ini mempunyai pengikut tersendiri di laman sosial. Jadi, dalam masa sama mereka boleh menarik minat pengikut untuk menonton rancangan ini.

"Dalam masa sama, tidak dinafikan setiap daripada mereka mempunyai pengetahuan dalam setiap segmen yang ada. Keupayaan mengolah fakta untuk disampaikan kepada penonton sangat penting.

"Seperkara lagi, mereka juga mempunyai daya tarikan tersendiri dari segi penampilan," katanya.

Menerusi Kuiz Harian dan Terkumpul, syarikat Olive House selaku penaja utama menawarkan hadiah RM10,000 berupa Sijil Simpanan Premium Tabung Haji kepada pemenang tempat pertama dan Kuiz Terkumpul sebanyak RM5,000 berupa Sijil Simpanan Premium Tabung Haji kepada pemenang tempat kedua. Bagi Kuiz Harian pula, tiga pemenang bagi kategori penonton TV dan lima pemenang bagi kategori Media Sosial akan menerima hadiah barangan Olive House bernilai RM200 sepanjang 15 episod program ini bersiaran.

Untuk lebih interaktif dan memaksimumkan pembabitan penonton, soalan juga dibuka melalui dalam talian iaitu secara WhatsApp, Facebook, Instagram dan Twitter Salam Baitullah.

Menerusi saluran sama, siaran ulangan boleh diikuti setiap hari mulai 19 Julai hingga 2 Ogos, jam 3 sehingga 4 petang.

Manakala siaran langsung Salam Baitullah Khas (Wukuf) pula disiarkan pada 30 Julai ini, jam 6 sehingga 7 malam dan jam 9 sehingga 10 malam.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 4:30pm
d