rap

Fadlan Hazim trauma dengan pengalaman silam

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Fadlan Hazim, 28, mendapatkan rawatan pakar psikologi selepas emosi dan fikirannya kerap terganggu sejak kebelakangan ini akibat trauma dengan pengalaman silam.

Fadlan berkata, keputusan itu juga dibuat demi misinya menyebarkan kesedaran bahawa pentingnya mendapatkan bantuan sekiranya berdepan gangguan mental.

"Saya baru saja pergi berjumpa pakar selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2017. Ini disebabkan, kebelakangan ini saya kembali berdepan gangguan mental sehingga tahap saya jadi 'down'.

"Sebenarnya sudah lama juga saya berdepan dengan masalah ini, cuma saya cuba elakkan untuk terlalu memikirkannya sebelum ini. Ingatkan ia akan lenyap sendiri tapi rupanya perlukan rawatan berterusan.

"Saya juga ada mengambil ubat tertentu untuk merawat permasalahan ini. Saya akan terus menjalani rawatan dengan pakar psikologi dari semasa ke semasa selagi ia mengganggu kesihatan mental saya," katanya.

Pelakon Manuskrip Cinta itu juga berkongsi dia tersentuh apabila ramai turut menghubunginya menyatakan mereka berhadapan kesukaran sama selepas dia membuat pendedahan pernah didera sewaktu kecil baru-baru ini.

Menurut Fadlan, perkara itu membuktikan bahawa ramai sebenarnya bergelut dengan pelbagai jenis gangguan mental di luar sana dan perlukan bantuan serta sokongan.

"Sebelum ini, saya mengambil tindakan untuk berdiam kerana tidak mahu nampak lemah. Disebabkan itu, saya cuba berusaha sibukkan diri dengan kerja misalnya tapi rupanya gangguan itu tetap hadir pada masa tertentu.

"Apabila saya berkongsi mengenainya, ramai menghantar mesej secara peribadi menceritakan kisah mereka. Rupa-rupanya saya tidak keseorangan dan saya berharap mereka juga dapatkan rawatan psikologi.

"Pada masa sama, saya mahu memberi kesedaran kepada orang ramai sama ada yang sedar atau tidak sedar mengenai perkara sebegini terutama famili atau orang terdekat mangsa, mereka perlu peka dan beri sokongan moral yang berterusan," katanya.

Terdahulu, Fadlan mendedahkan dia pernah didera secara emosi dan fizikal sejak kecil. Walaupun sudah lama berlalu dia mengakui insiden dera itu masih menghantui hidup hingga dia mengalami gangguan mental.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 5:02pm
d