rap

Ubati keresahan peminat

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KONSERT 4G's Gabungan Melodi Terindah yang menampilkan empat rakan karib, Black, Tomok, Hazama dan Akim sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April lalu di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu membuatkan konsert anjuran Belbis Sdn Bhd ini ditunda ke satu tarikh baharu.

Kini, negara memasuki fasa Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan tiba masanya tarikh baharu ini diumumkan bagi mengelakkan keresahan peminat yang sudah membeli tiket untuk menikmati persembahan artis pujaan mereka.

Ketua Eksekutifnya, Fandy Alias berkata, mereka masih menunggu pengumuman kerajaan dalam masa terdekat untuk memikirkan tarikh baharu.

"Sekiranya keadaan diumumkan pulih oleh kerajaan dalam masa terdekat ini, kemungkinan besar konsert 4G's akan dapat diadakan pada penghujung tahun ini.

"Bagaimanapun, kami masih menunggu kata putus dari pihak Istana Budaya dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan yang menguruskan persediaan yang perlu untuk semua pengunjung dan penonton sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan kerajaan.

"Satu pengumuman rasmi akan dibuat berkenaan tarikh baharu Konsert 4G's selepas mendapat 'lampu hijau' daripada pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, peminat yang sudah membeli tidak perlu bimbang kerana ia masih boleh digunakan untuk konsert pada tarikh baharu yang akan diumumkan.

"Kami dan semua artis 4G's dengan rendah hati memohon maaf serta berterima kasih kepada semua peminat, penaja dan semua pihak terbabit yang bersabar dan terus menyokong Konsert 4G's ini.

"Diharapkan dengan doa dan sokongan berterusan ini, segala perancangan yang diatur akan dipermudahkan dan berjalan lancar dalam waktu terdekat," katanya.

Konsert menggabungkan empat penyanyi lelaki yang dikenali mempunyai kualiti vokal hebat ini akan diperindahkan lagi dengan susunan muzik daripada pengarah

muzik berpengalaman, Aubrey Suwito.

Gabungan mereka bermula apabila Black berjaya mengadakan konsert bersama Tomok di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 November lalu dan selepas itu mereka terdetik untuk memanggil dua lagi teman baik iaitu Hazama dan Akim untuk bergabung dalam satu konsert.

Black dikenali menerusi lagu Anugerah Terindah, Mana Mungkin dan Sofea Jane, Hazama (Cinta Teragung, Malaikat dan Penglipur Lara), Tomok (Sejarah Mungkin Berulang, Bagaikan Bidadari dan Arjuna) manakala Akim (Bengang dan Mewangi).

Bagaimanapun, konsert terbabit menyandarkan melodi lagu terindah dari era muzik yang membesarkan dan memberi inspirasi terhadap perkembangan karier mereka.

"Dalam konsert ini nanti, kami akan menyampaikan lagu hit dari beberapa era penghujung 1970-an hingga terkini.

"Lagu ini yang memberi inspirasi kepada kami dan menjadikan kami seperti sekarang. Sebagai penyanyi saya lihat lagu era 1970-an hingga 1990-an mempunyai melodi yang indah.

"Biarpun bergabung, kami tetap akan membuat persembahan secara solo menyanyikan lagu masing-masing," kata Black.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 6:15am
d