rap

Kolaborasi Zuar, Copero Viper

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PERNAH menganggotai kumpulan heavy metal terkenal XPDC sebelum ini, siapa sangka timbul pula persoalan mengenai Zuar yang juga pemain bass kumpulan itu dikatakan makin sibuk menghasilkan album studio baharu.

Bukan bersama XPDC, tetapi Zuar didakwa bergabung dengan kumpulan projek khasnya iaitu Viper atau kini dikenali sebagai Copero Viper.

Zuar atau nama sebenar Azuar Mat Tasi berkata, hatinya melonjak-lonjak untuk menghasilkan album baharu apabila mendapat tawaran daripada sebuah syarikat rakaman, Rockstage Entertainment yang berminat.

"Saya memang suka berkarya dan hanya ingin mengeluarkan idea kreatif yang ada untuk dikongsi kepada peminat muzik rock tanah air.

"Apabila Rockstage Entertainment menawarkan peluang keemasan ini untuk saya bersama Copero Viper merakamkan lagu baharu, sudah tentu ia tak boleh dilepaskan.

"Saya segera menghubungi bekas anggota Viper iaitu Amy (dram) dan Lee (gitar utama) untuk kami bekerjasama. Alhamdulillah, nampaknya mereka setuju untuk terbabit dalam projek lagu ini. Bagaimanapun, tempat Ulai sebagai pemain gitar irama kini digantikan oleh Wan," katanya ketika ditemui di studio Bakri Music Works (BMW), Setapak.

Zuar menubuhkan kumpulan Viper pada sekitar 2000 lalu, selepas meninggalkan XPDC. Kini, seiring masa yang pantas berlalu Viper sudah 20 tahun ditubuhkan.

Di awal penubuhan, Viper sempat merakam satu album berjudul Evolusi terbitan NSR Records pada 2001.

Album terbitan Zuar itu, memuatkan sepenuhnya lagu ciptaannya sendiri dan antara lagu yang pernah popular berjudul Nekad.

Ditanya juga kedudukan sebenarnya bersama XPDC, Zuar enggan mengulas lanjut dan meminta peminat menunggu perkembangan kerjayanya dalam muzik di samping kumpulan Copero Viper

"Buat masa ini saya hanya mahu fokus pada perjuangan muzik Copero Viper. Ia adalah projek istimewa kami dalam usaha memenuhi permintaan peminat.

"Album Viper dahulu berjaya dijual sebanyak 20,000 unit di pasaran sekali gus membuktikan kami ada kelompok peminat tersendiri yang sudi menyokong.

"Justeru, untuk album kali ini bersama Copero Viper akan ditampilkan lapan lagu ciptaan saya, manakala lirik hasil tulisan Man. Kami juga akan muatkan lagu berunsur ketuhanan yang judulnya ialah Wali Pendekar," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 6:15am
d