rap

Ezlynn rayu bantuan untuk kuda

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

"ASSALAMUALAIKUM Datuk-datuk, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

"Saya Ezlynn dengan rendah hati ingin memohon bantuan makanan buat kuda-kuda ini. SubhanaAllah kesian sangat," kata penyanyi Ezlynn menerusi kiriman WhatsApp kepada semua kenalannya.

Menerusi WhatsApp sama, dia turut menyertakan gambar-gambar kuda serta keadaan kandang kuda yang menyedihkan.

Ezlynn, 38, atau nama sebenarnya Azline Ariffin, yang dihubungi berkata, dia terpanggil untuk membantu selepas melihat sendiri keadaan sebenar disitu yang menyedihkan. 

"Saya memang terbabit sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam dibawah unit berkuda dinamakan Briged Ekuin. 

"Tugas kami adalah jaga kebajikan kuda-kuda di seluruh Malaysia. Sempena Merdeka nanti, ada program yang membabitkan kuda-kuda ini.

"Saya ditugaskan pergi melihat keadaan kuda-kuda yang akan terbabit nanti dan tersentuh hati dengan apa yang berlaku," katanya.

Dia yang bergelar Leftenan Azline Ariffin berkata, kandang kuda itu asalnya elok, kemas dan cantik kerana dijaga dengan baik oleh pemiliknya.

"Tapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) keadaan mula berubah apabila kuda tak cukup makan, tak cukup zat dan sebagainya. 

"Ia disebabkan pemiliknya tak dapat keluar cari makanan untuk kuda dan tak boleh cari duit menerusi lawatan pengunjung untuk membiayai kos penjagaannya.

"Menambah burukkan lagi keadaan apabila berlaku ribut sehinggakan bangsal kuda runtuh dan mereka tak sempat membaikinya," katanya.

Penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye ini cuba membantu sedaya termampu dan berharap masyarakat menyokong usahanya. 

"Saya pergi melawat semua kandang kuda di Kluang, Seremban, Melaka dan negeri di utara.

"Ada 12 ekor yang perlukan bantuan makanan. Ada baiknya kita sama-sama berganding tenaga membantu makhluk Allah ini," katanya.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Maybank 5570-9052-2293 milik High Chaparral Services.

 

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 3:36pm
d