rap

Awek baru Da'i Syed pelakon tak berhijab

Oleh Najiy Jefri

Pendakwah muda Da'i Syed mendedahkan sedang menjalin hubungan cinta dengan pelakon wanita tidak berhijab.

Da'i Syed, 25, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail berkata, hubungan yang sudah dua bulan terjalin itu adalah untuk saling memperbaiki kelemahan antara satu sama lain.

"Saya tidak suka menghakimi orang kerana setiap manusia mampu berubah ke jalan yang lebih baik.

"Meskipun dia belum berhijab, tapi kami saling mengubah dan bantu untuk menjadi insan yang lebih baik sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

"Malah sekarang ini pun, kami selalu membuat panggilan video untuk kelas mengaji al-Quran.

"Saya juga ingin mohon maaf kerana tidak dapat berkongsi gerangan pelakon ini kerana kami berdua belum bersedia," katanya.

Menurut Da'i Syed, dia mula mengenali wanita itu menerusi Instagram dan sudah bertemu ibu pelakon terbabit pada hari ketiga perkenalan.

"Selepas dua hari berkenalan di Instagram, saya terus memberitahunya untuk berjumpa ibunya terlebih dahulu.

"Saya enggan hubungan ini tidak diketahui orang tuanya. Alhamdulillah, hubungan kami berjalan dengan baik dan dia juga sudah pasang niat untuk memakai tudung tidak lama lagi," katanya.

Tambah Da'i Syed, sebagai seorang pendakwah dia ingin memastikan wanita yang ingin dikahwininya memakai hijab.

"Saya tidak pernah paksa dia mengenakan hijab dengan segera, sebaliknya saya beri dia ruang secara perlahan untuk berubah.

"Tapi tak sangka dia maklumkan kepada saya untuk berhijab selepas dia selesai menjalani penggambaran bagi sebuah drama," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 3:56pm
d