rap

Buat 'show' Aidiladha, nak bayar dengan daging korban sahaja

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BAYAR dengan daging korban saja.

Itulah yang bakal diterima kumpulan nasyid Rabbani dan beberapa kumpulan nasyid popular lain sebagai bayaran untuk persembahan sempena Aidiladha, hujung bulan ini.

Anggota Rabbani, Mohd Asri Ubaidullah ketika dihubungi berkata, dia agak terkilan sikap penganjur sedemikian kerana sekurang-kurangnya mereka patut diberikan bayaran sagu hati selepas mengambil kira semua kos yang dikeluarkan.

Semalam, Asri memuat naik hantaran di Facebook menyentuh sikap penganjur sedemikian.

"Apapun kita doakan yang baik-baik untuk semua. Kalau lihat senarai jemputannya, ada juga Raihan dan Hijjaz. Takkan kami nak beritahu mereka bayaran hanya dengan daging korban?," katanya.

Menurutnya, sekiranya penganjur menjemput kumpulan nasyid baharu pun, mereka patut diberikan bayaran sagu hati mengambil kira semua kos yang dikeluarkan seperti petrol.

Asri berkata, dia tidak menjangka hantaran itu mendapat maklum balas hangat daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan penggiat seni sendiri.

"Ikutkan saya nak padam, tapi kawan-kawan tak bagi sebagai peringatan untuk mana-mana pihak yang berurusan dengan artis nasyid.

"Rasanya tiada sesiapa yang tersinggung kerana saya tak tujukan khusus pada sesiapa. Tulisan itu pun bersifat umum.

Asri bagaimanapun menganggap perkara ini sudah selesai dan tidak mahu memanjangkan lagi hal terbabit. "Alhamdulillah semuanya sudah selesai dengan baik Saya tak berniat nak merendahkan sesiapa yang pernah atau yang akan menjemput kami buat persembahan.

"Maklumlah kadang-kadang orang tak faham. Kadang-kadang dia mungkin hanya bertanya. Sebenarnya lebih teruk dari itu pun ada. Rabbani tolong dahulukan bayaran artis lain, tapi habis program, satu sen pun tak dapat. "Kami faham semua pihak daripada artis hingga penganjur, semuanya nak 'survive'. Ikutkan artis nasyid bukan letakkan harga tinggi seperti artis komersial. Kami boleh bertolak ansur untuk program masjid, program korban sekolah dan pelbagai lagi, tapi janganlah sampai buat kami senak perut," katanya.

Asri berkata, Rabbani masih kekal dengan lapan anggota dan biarpun seorang anggotanya, Nazrul Azhar terpaksa berehat akibat masalah buah pinggang dan paru-paru, namun bahagiannya tetap ada.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 5:27pm
d