rap

'Jangan tertipu, saya tiada akaun Tinder' – Fadlan

Oleh Georgie Joseph

 

PELAKON Fadlan Hazim terkejut apabila identiti serta fotonya disalahguna individu tidak bertanggungjawab dalam laman sosial carian jodoh popular iaitu Tinder.

Fadlan, 28, berkata seumur hidupnya dia tidak pernah memiliki akaun dalam laman sebegitu dan berharap dalang yang cuba memburukkan namanya itu berhenti menyamar menjadi dirinya.

"Saya mendapat tahu perkara itu daripada orang terdekat yang bertanyakan sama ada akaun itu milik saya. Semestinya saya terkejut kerana tidak pernah langsung ada akaun dalam laman carian jodoh itu.

"Lagi pun, buat apa saya mencari jodoh sedangkan sudah ada kekasih. Takut nanti individu berkenaan buat hal sama ada menipu dan ada orang jadi mangsa pula. Nama saya juga buruk kelak.

"Saya tiada masa nak main Tinder. Kalau belum ada kekasih pun, saya lebih rela bercinta dengan seseorang secara semula jadi tanpa perlu menggunakan laman sosial itu," katanya.

Pelakon Alergi Mamat Romantik terbabit juga mengakui ini pertama kali dia terkena identitinya digunakan penyamar tidak bertanggungjawab.

"Meski hal ini biasa berlaku terhadap rakan artis lain, kebiasaannya akaun palsu yang dibuat pun di Facebook atau Instagram saja. Tapi, saya pula terkena dekat laman mencari jodoh.

"Saya bimbang sekiranya ada mangsa yang diberi harapan palsu oleh penyamar itu. Kelak, saya pula yang akan disalahkan. 

"Saya juga berharap kepada sesiapa yang ternampak akaun itu, tolong laporkannya supaya akaun itu dipadam," katanya. 

Fadlan kini bercinta dengan wanita keturunan Cina, Julie Anne Kang. Tahun lalu, dia pernah berkongsi perancangan bercadang menamatkan zaman bujang dengan kekasih hatinya itu pada tahun ini.

 

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 1:51pm
d