rap

Adam Corrie ajak mualaf belajar al-Quran

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON Adam Corrie Lee, 52, mengajak golongan mualaf supaya membuka hati dan sentiasa mencari ruang bagi meneroka ilmu al-Quran.

Corrie berkata, apa yang penting adalah niat dalam hati seseorang dan dengan niat itu, Allah akan permudahkan jalannya.

"Sekiranya kita berniat untuk belajar mengaji al-Quran kerana Allah, Dia akan beri petunjuk. Dia akan beri ruang dan masa untuk kita belajar. Kalau dalam hati kita tak ada niat langsung, bagaimana Allah nak bimbing kita," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon filem KL Gangster yang juga seorang mualaf itu juga berkongsi, dia pernah didatangi beberapa rakan selebriti yang sudah memeluk Islam dan meluahkan rasa ingin belajar al-Quran.

"Saya banyak menjalani penggambaran dan kadang-kadang ada berjumpa dengan saudara mualaf. Ada yang sudah lama memeluk Islam, tapi mereka rahsiakan dan ada juga yang saya baru tahu mereka memeluk Islam.

"Mereka meluahkan rasa ingin belajar dan mendalami ilmu al-Quran itu namun tidak bertemu dengan guru yang sesuai.

"Saya beritahu mereka perlukan guru yang benar-benar boleh mengajar dan membimbing mereka kerana Allah dan paling penting, menyimpan niat dan membuka hati untuk belajar," katanya.

Corrie baru-baru ini dilantik sebagai duta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pada masa sama, sebagai ketua ikon program Jom Celik Al-Quran, hasil kerjasama MAIWP dengan Istitut Pengajian Al-Quran (IPaQ).

Corrie sebelum ini memeluk Islam pada 2007 di usia 39 tahun dan sehingga kini, kerap menyertai pelbagai program keagamaan.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 4:37pm
d