rap

Zara Zya dah berpunya

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON Zara Zya mengakui sedang bahagia menjalin hubungan cinta dengan teman lelaki yang dikenalinya sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun Zara, 35, atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin memilih jalan selamat apabila bersikap 'low profile' dan enggan mengulas kisah peribadinya kepada masyarakat.

"Apa yang boleh dikatakan sekarang, dia seorang yang amat memahami saya dan sering memberikan sokongan terhadap apa juga yang saya lakukan.

"Setakat ini sahaja yang boleh saya kongsi kerana biarlah saya rahsiakan terlebih dahulu cerita berkenaan kahwin dan perancangan lain kerana saya nak fokus pada perniagaan restoran ZaraZyaCooks terlebih dahulu.

"Yang penting cukuplah jika orang tahu bahawa saya sudah berpunya dan saya tak menafikan perkara ini daripada semua," katanya yang ditemui pada pelancaran restoran miliknya di Setia Alam, Selangor, baru-baru ini.

Terdahulu, Zara Zya pada April lalu membuat pengakuan terbuka di Instagram memaklumkan sudah bertemu insan istimewa.

Dia turut mengakui teman lelakinya menjadi pendorong utama yang memberi galakan dan inspirasi untuk dia aktif berniaga pada Ramadan lalu.

"Dia memang banyak membantu dan berkongsi idea berbekalkan pengalaman dimilikinya yang turut aktif dalam badan amal. Setakat ini bayangan nak kahwin belum ada. Jika sekiranya ada, kami akan terus buat tanpa berniat sembunyikannya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai restoran terbaharu yang diusahakannya, Zara berkata, ia perniagaan ketiga diuruskan selepas dua yang terdahulu menemui kegagalan.

"Saya pernah uruskan kios makanan di sebuah pusat beli belah popular tapi terpaksa tutup perniagaan dan berdepan kerugian lebih RM80,000.

"Saya tak serik dan selepas itu buka pula di pusat beli belah popular lain tapi tetap tak jalan. Kedua-dua kedai itu tak menggunakan nama sendiri dan sekarang barulah saya bertekad guna nama sendiri," katanya yang turut berdepan ujian rakan kongsi menarik diri sebaik restoran mula dibuka.

Zara Zya menyifatkan kegagalan yang dialami sebelum ini kerana dia tiada ilmu serta asas-asas berniaga. "Kali ini saya sudah persiapkan diri dan pastikan saya bukan jual nama semata-mata. Ada sahaja cuti daripada penggambaran, saya pasti akan turun padang memasak dan melayan pelanggan.

"Restoran saya menyediakan pelbagai hidangan istimewa termasuk sup belut dan nasi goreng kambing bakar yang beroperasi setiap hari bemula jam 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam.

"Saya juga turut menyediakan ruang acara, ZaraZya Sky Lounge (ZSL) di tingkat atas yang dibuka dari jam 6 petang hingga 1 pagi setiap hari.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 6:45am
d