rap

Wani, 'crush' saya dahulu - Afieq Shazwan

Oleh Norhayati Nordin

"DAHULU pernahlah saya 'crush' dengan dia. Tapi, sekarang status hubungan kami hanya kawan biasa sahaja. Dah dingin," kata penyanyi, pelakon dan pengacara, Afieq Shazwan mengenai perasaannya terhadap penyanyi Wani Kayrie.

Afieq, 23, berkata hingga kini dia masih solo dan tidak terikat secara serius dalam perhubungan dengan mana-mana wanita kerana belum bertemu calon dicari.

"Saya pun masih muda lagi dan ekonomi sendiri dari aspek kewangan pun belum stabil. Buat masa sekarang, saya perlu usaha dan fokus pada kerjaya dahulu.

"Apatah lagi,  saya suka wanita bertudung. Bagaimanapun, saya belum bertemu calon dicari itu. Ditambah, sasaran usia nak kahwin pun jauh lagi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon drama Elly Epit dan penyanyi lagu Lelaki Di Telefon ini, dia mensasarkan untuk menamatkan zaman bujang ketika berumur 28 tahun. 

 

"Rapat dengan wanita, tetap ada. Namun 'dia' bukan pada kalangan selebriti. Bagi saya sekarang, jodoh dengan siapa nanti biarlah Allah SWT yang tentukan.

"Apapun selain aktif dalam kerjaya seni, saya masih lagi menumpukan pengajian di universiti. Impian saya untuk memiliki ijazah masih belum tercapai," katanya.

Mengulas mengenai peminat masih mengaitkan dia 'bercinta' dengan Wani dari 2018 hingga kini, Afieq berkata biarlah. Ujarnya, itu hak masing- masing nak fikir apa.

"Apa yang pasti, saya sudah beri penjelasan buat sekian kalinya. Jika kami masih digosipkan lagi, ia lumrah kehidupan selebriti.

"Saya pun tak tahu jodoh sendiri pada masa akan datang. Cuma, macam saya kata wanita disukai adalah bertudung," jelasnya.

Dicuit berhubung kenyataan pernah dibuat Wani yang mengakui Afieq memiliki ciri- ciri lelaki idaman, katanya dia bersyukur dengan pengakuan itu.

"Kalau dia kata saya ada ciri-ciri lelaki idamannya, saya juga tak nafikan  dia (Wani) juga memiliki kriteria wanita yang saya idamkan. 

"Wani, pada saya seorang wanita yang berpendidikan, berbakat, pandai bawa diri, sopan-santun cuma syarat saya mesti bertudung," katanya.

Mengulas kerjaya pula, Afieq berkata dia bakal muncul dengan satu lagu baharu selain, akan terbabit penggambaran untuk satu telefilem dan drama bersiri sekitar September nanti.

 

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 10:43am
d