rap

Alya Iman minta maaf

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"SAYA masih muda dan naif. Saya minta maaf pada siapa yang terluka."

Itu kata pelakon baharu, Alya Iman, 19, yang juga anak kepada pelakon lagenda, Allahyarham Azmil Mustapha selepas tercetusnya kontroversi membabitkan dirinya dengan lelaki berstatus suami orang.

Kisah Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil menjadi perhatian warganet apabila isteri lelaki berusia 30 tahun itu yang dikenali sebagai Penny Salman mendedahkan hubungan yang terjalin antara pelakon itu dengan suaminya selepas setahun bercinta.

Ekoran itu ruangan komen di Instagram Alya 'diserang' pengguna laman sosial.

Alya berkata, segala kecaman dan fitnah yang dilemparkan mematangkan lagi dirinya.

"Saya terima semua nasihat, kecaman, sindiran dan fitnah sebagai sesuatu yang mematangkan saya. Saya akui pernah melakukan kesilapan di masa lalu, tapi saya yakin Allah Maha Adil dan Maha Berkuasa. Saya berdoa dan berusaha agar kehidupan saya menjadi kehidupan yang diberkati dan diredai Allah," katanya di Instagram Stories.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Alya mengakui sudah bertunang dengan lelaki itu pada 27 Februari lalu.

Namun, dia memutuskan perhubungan itu pada Mac apabila kehadirannya tidak diketahui dan dipersetujui isteri lelaki berkenaan.

Dalam kenyataan sama juga, Alya berkata dia sudah memulangkan semua hadiah yang diberikan kepadanya.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 10:27am
d