rap

Nasihat wanita materialistik

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ANTARA isu yang heboh diperkatakan di media sosial sejak akhir-akhir ini adalah mengenai wanita yang bersikap materialistik.

Tidak semua wanita bersikap sedemikian, namun itu hakikat yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Penyanyi, Anie Emlan yang hadir dengan single baharu berjudul Swasa Tembaga menampilkan penyanyi rap, Shou Raion bercerita mengenai isu itu dari perspektif berbeza.

Anie berkata, lagu ciptaan Bella Iris, Luca Sickta dan Kmy Kmo dan lirik oleh Kmy Kmo, Luca Sickta dan Shou berkisar mengenai wanita materialistik.

"Swasa Tembaga membawa perspektif berbeza iaitu saya sendiri sebagai penyanyi, menyanyikan dari sudut perspektif wanita lain dan memberi nasihat kepada wanita itu supaya tidak menjadi materialistik," katanya.

Bagi Shou atau nama sebenarnya Shamirul Arif Abdul Samat, bahagian lantunan rap daripadanya juga adalah dari satu sudut yang bukan dirinya.

"Lantunan rap yang saya sampaikan adalah diibaratkan sebagai suara monolog wanita yang bersikap materialistik itu," katanya.

Menurut penyanyi rap yang juga penerbit berpengalaman tujuh tahun dalam muzik ini, dia pada awalnya tidak mengenali Anie.

"Proses rakaman pun dijalankan berasingan. Namun, semuanya berjalan lancar dan apabila sudah berjumpa dan kenal dengan Anie, ada keserasian antara kami," katanya.

Bercerita mengenai lagu baharu ini, Anie berkata, ia juga mengetengahkan genre berbeza yang bukan menjadi kebiasaan buat lagu baharu.

"Lagu Swasa Tembaga menampilkan elemen tradisional, hip hop dan untuk berikan kelainan turut disuntik elemen muzik Jawa moden.

"Ini adalah untuk disesuaikan dengan kehendak peminat saya yang juga ada dari negara jiran, Indonesia," katanya.

Sebelum ini, Anie pernah menyertai pertandingan D'Academy Asia 5 di Jakarta, mewakili Malaysia.

"Dari situ, sedikit sebanyak saya dapat menuai jumlah peminat dan pengikut dari Indonesia dan rata-rata selesa sekiranya saya tampil dengan muzik yang kena dengan selera mereka.

"Pada masa sama, saya juga mencari arah tuju muzik saya. Jadi, tak salah untuk saya mencuba dan bereksperimen," katanya.

Swasa Tembaga kini dalam rangka promosi dan berkemungkinan besar turut dipromosikan ke Indonesia.

Setakat ini, video lirik Swasa Tembaga mencatat jumlah tontonan lebih 129,000 manakala video muziknya masih dalam pembikinan.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 6:15am
d