rap

Mark Adam risau keadaan ibu dan keluarga di Filipina [METROTV]

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI, Mark Adam mengakui risau dengan keadaan ahli keluarga terutama ibunya, Florinda Macaraig Echivarre, 60, di Cebu, Filipina penularan wabak Covid-19 terus mengganas di seluruh dunia.

Menurut Mark, dia sentiasa menghubungi ahli keluarganya bagi mengikuti perkembangan dan keadaan terkini mereka di sana.

"Saya sangat risaukan keadaan ibu dan adik-beradik di sana. Saya akan selalu bertanya khabar dan menasihati mereka supaya menjaga diri serta kesihatan.

"Kali terakhir saya jumpa ibu pada Januari lalu. Saya hanya ada dia saja untuk menumpang kasih selepas kehilangan ayah.

"Apabila tidak dapat ke sana untuk bertemu dengannya, saya akui tidak boleh duduk diam dan sentiasa berdebar. Saya akan selalu menghubungi atau membuat panggilan video untuk mengikuti perkembangannya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baru berjudul Teh Terakhirku.

Lagu terbabit turut menampilkan pelawak, Shuib dan penyanyi muda, Zynakal.

Mark berkata, sejak ibunya berpindah ke rumah baru yang dibelinya di Jugan, Cebu, Mark akui sedikit lega apabila kawasan perumahan itu tidak sesak berbanding sebelum ini.

"Selalunya setiap Ahad ibu akan keluar berjalan tapi sejak kes Covid-19 meningkat secara mendadak di Filipina, dia sudah tidak lagi keluar.

"Saya juga bersyukur apabila kawasan perumahan dikelilingi pagar, jadi tidaklah terlalu sesak dengan kawasan perumahan lain seperti keadaan rumah sebelum ini yang begitu rapat.

"Mujurlah ada adik-beradik yang boleh jagakan ibu di kampung. Sehingga hari ini saya tak putus berdoa agar ibu dijauhkan daripada wabak itu," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 7:01pm
d