rap

Pelaksana bantu penggiat seni [METROTV]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGGIAT seni tanah air terus dibantu apabila kerajaan menerusi agensinya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), melancarkan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) bagi membantu memperkasakan semula industri perfileman dan penerbitan negara yang terjejas teruk ekoran penularan Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, menerusi PELAKSANA, industri kreatif negara dijangka mampu bangkit semula dalam tempoh enam bulan melalui suntikan dana yang diberikan.

"PELAKSANA yang dirangka Finas akan memberi tumpuan membantu dan memberi suntikan dana kepada penggiat industri terbabit bermula Julai hingga Disember tahun ini.

"Khusus untuk filem, kita sudah ada perancangan di bawah Finas dan saya yakin mereka akan bertungkus lumus untuk melaksanakan apa yang terbaik untuk industri dari segi jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Filem seperti komponen-komponen lain dalam industri kreatif, sangat terkesan akibat Covid-19. Kerana itu untuk enam bulan ini, kita mahu suntikan ini menghidupkan dan menyegarkan semula industri perfileman," katanya ketika hadir melancarkan PELAKSANA di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, apa sahaja dana yang ada termasuklah Dana Kandungan Digital (DKD) atau dibawah Pelan Jana Ekonomi Negara (PENJANA) harus dibelanja secepat mungkin untuk menghasilkan seberapa banyak produk.

"Apabila kita menghasilkan sesuatu produksi, ia juga mesti ditayangkan. Itulah sebabnya harus ada kerjasama dengan stesen televisyen, pemamer dan sebagainya.

"Dalam hal ini, kita bagi tumpuan kepada DKD untuk dibangunkan dengan sebaiknya. Dalam dunia hari ini kita perlu melihat kepada kandungan digital, bagaimana kita boleh memperbanyak dan meningkatkan produksi, meningkatkan kualiti dan membawanya ke pentas antarabangsa," katanya.

Menyentuh kelebihan dana yang diberikan, Saifuddin berkata, apabila penggambaran bermula, kru sudah mula mengecapi nikmat daripada elaun yang diberikan kepada mereka.

"Memang ini matlamat kita. Selama beberapa bulan aktiviti dihentikan akibat Covid-19, berlaku beberapa situasi seperti syarikat filem terpaksa menghentikan penggambaran dan selepas itu mereka harus memulakannya kembali.

"Jadi mereka memerlukan sedikit suntikan. Ada juga segelintir syarikat filem, untuk memulakan semula penggambaran, berhadapan dengan masalah besar.

"Mereka ada kos yang terpaksa ditanggung dan pekerja yang perlu dibayar gaji. Jadi, sesetengahnya dah habis wang simpanan dan nak memulakan semula bukannya mudah," katanya.

Menerusi majlis sama, FINAS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan empat stesen televisyen iaitu Media Prima Berhad, Astro, TV Alhijrah dan RTM.

Mereka diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Iskandar Mizal Mahmood; Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris.

Lima objektif utama PELAKSANA diperkenalkan dan antaranya ialah menjana semula industri kreatif tanah air untuk jangka masa pendek melalui kerjasama pihak swasta seperti stesen televisyen tempatan.

Sementara itu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, menerusi PELAKSANA, Finas memberi kebebasan kepada stesen-stesen televisyen untuk berkarya.

"Stesen televisyen akan mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat penerbitan yang bersesuaian dengan spesifikasi syarikat terbabit dan memohon pembiayaan Program Pelaksana melalui Bahagian Dana Finas.

"Kategori yang dikenal pasti oleh Finas dan stesen televisyen samada penerbitan terbabit adalah Drama Bersiri, Supertele, Rancangan Majalah, Dokumentari, Bual Bicara serta Rancangan Hiburan dan Sukan," katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi dan Industri Kreatif), Shakib Ahmad Shakir; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Syed Junid dan Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 9:47pm
d