rap

Nelydia tak tertekan masih belum hamil

Oleh Najiy Jefri

MESKIPUN sudah lebih setahun mendirikan rumah tangga, pelakon Nelydia Senrose mengaku dia tidak tertekan apabila masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata. 

Nelydia berkata, dia dan suami reda dengan ketentuan Ilahi dan  menganggap mungkin sekarang bukan waktu yang terbaik buat mereka memiliki ahli keluarga baru.

"Sekarang ini, saya pun sibuk dengan sesi penggambaran drama. Tapi, kalau ada rezeki saya nak sangat ada cahaya mata.

"Mungkin, sekarang Allah tetapkan belum masa yang sesuai untuk saya dan suami dikurniakan cahaya mata.

"Saya akur dan reda, namun mohon doakanlah yang baik-baik. Rezeki, ajal dan maut, semua Allah yang tentukan.

"Saya tidaklah tertekan, malah suami juga positif. Kami berdua baik-baik saja memandangkan baru berkahwin tahun lalu, Insya-Allah tak lama lagi," katanya.

Menurut Nelydia, walaupun tiada rezeki dikurniakan anak, namun dia tidak melihat perkara itu dari sudut negatif.

Sebaliknya, pelakon drama Pergilah Air Mata ini sangat berterima kasih kepada semua pihak yang perihatin mengenai kehidupannya di samping suami tercinta.

"Apabila ada yang bertanya saya tidak tertekan atau sedih, rasanya semua orang faham. 

"Itu perkara biasa dan saya tak anggap pun ia satu benda yang negatif. Orang tanya, sebab orang nak tahu," katanya.

Sementara itu, Nely berkata dia juga tidak akan terburu-buru untuk membuat pengumuman seandainya disahkan hamil satu hari nanti.

"Jika saya dah mengandung, kalau boleh tidak mahulah umumkan terlalu awal. Mungkin tunggu sehingga kandungan itu kuat, barulah berita gembira berkenaan sedia dikongsi.

"Sebab bagi saya, kesihatan dan keselamatan bayi yang dikandung itu sangat penting dan lebih utama," katanya.

Terdahulu, Nelydia mendirikan rumah dengan ahli perniagaan dikenali Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid pada 6 April tahun lalu.

Disiarkan pada: July 31, 2020 @ 10:19am
d