rap

Rezeki Alina di Aidiladha

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KETIKA umat Islam di Malaysia bergembira meraikan Aidiladha bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai di mana-mana sahaja, masih ada yang kurang bernasib baik dan meraikannya secara ala kadar termasuk penyanyi, Alina Hassan.

   Alina, 52, Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018, hanya menyambut Aidiladha sendirian di bilik kecil di sebuah rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur.

   Bagaimanapun penyanyi yang popular dengan lagu Gelombang dan Dingin ini, gembira apabila bekas anggota kumpulan dangdut Eva iaitu Mim sudi menghantar makanan kepadanya.

   Alina berkongsi perkara terbabit di Facebooknya hari ini apabila menulis:

   "Rezeki Allah nak bagi itu luas.  Macam-maca cara dia datang. Hari ini tengah menung dalam bilik seorang diri, tiba-tiba Dia (Allah) hantar bidadari cantik datang dengan hidangan paling sedap di pagi raya ini.  

   "Syukur Alhamdulillah atas nikmat mu ya Allah. Terima kasih, Mim yang cantik manis. Moga terus sukses ya sayang," katanya. 

    Terdahulu Mim atau Mimi mengambil keputusan untuk tidak aktif bersama Eva kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakannya. 

   Sementara itu, Alina yang mempunyai empat anak (seorang meninggal dunia) dan memilki anak autisme, akan pulang bertemu buah  hati kesayangannya di Terengganu, esok. Dia dijangka bersama-sama anaknya selama seminggu.

Disiarkan pada: July 31, 2020 @ 6:37pm
d