rap

Keadaan Kumin KU2 makin stabil

Oleh Norhayati Nordin

"ALHAMDULILLAH, saya masih sihat dan dipanjangkan umur lagi," kata pelakon dan pelawak dikenali Kumin KU2, 49, yang kini menerima rawatan di Hospital Ampang akibat angin pasang dan air berlebihan dalam badan sejak semalam.

Kumin atau nama sebenar Khuzami Ismail dihubungi berkata dia bersyukur kepada Allah kerana keadaan kesihatannya makin stabil dan bertambah baik.

"Terus-terang, kalau semalam keadaan saya memang teruklah. Tapi, hari ini Alhamdulillah syukur kesihatan saya lebih baik dan boleh dikata, 80 peratus sudah stabil.

"Bagaimanapun, memandangkan saya diserang angin pasang dan ada air berlebihan dalam badan, doktor memaklumkan saya perlu tinggal di wad sekitar lima atau enam hari lagi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Kumin, kini dia berhadapan masalah pergerakan terhad. Ujarnya, dia masih tidak boleh bergerak banyak dan hanya duduk di katil sahaja.

Menceritakan keadaan awalnya sebelum mendapatkan rawatan di hospital, Kumin berkata dia sudah berasa sakit sejak beberapa hari lalu. Namun, dia kuatkan semangat untuk bertahan kerana mahu menyiapkan penggambaran drama dibintangi.

"Namun, semalam memang saya dah tak boleh tahan lagi. Saya mengalami sesak nafas, diikuti serangan angin pasang di rumah dan perlu segera ke hospital.

"Saya memohon pertolongan rakan iaitu pelakon Yank Kassim untuk bawa ke hospital. Tetapi, ketika itu saya dah tak boleh bergerak kerana kebas anggota badan.

"Jadi, untuk penyelesaian selepas menghubungi pihak ambulans, saya hubungi pula pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah untuk bantu bawa saya turun dari kediaman ke hospital," katanya.

Mengulas juga berita palsu tersebar mengatakan dia meninggal dunia, Kumin berkata hal membabitkan nyawa seseorang ini bukan perkara lawak yang boleh dicanang sesuka hati.

"Saya tahu, mungkin ada di antara warganet ini yang keliru tentang saya, Kuman mahupun Abam. Namun, saya Kumin masih sihat dan Alhamdulillah Allah panjangkan umur lagi.

"Apapun, saya harap pihak di luar sana lebih peka dan berhati-hati menyebarkan berita. Tolonglah, jaga perasaan orang lain terlebih dahulu, apatah lagi membabitkan berita kematian" katanya.

Terdahulu, Kumin mula aktif dalam industri hiburan sejak era 1990-an. Dia bersama rakan baiknya Allahyarham Bob Kuman pernah menubuhkan  kumpulan duo dikenali KU2 yang berjaya melonjakkan populariti mereka meskipun bertubuh besar.

Selama membina nama bersama KU2, duo ini pernah menghasilkan empat album iaitu Motivasi pada 1994, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001).

Berbanding Allahyarham Kuman yang banyak berlakon,  Kumin pula memilih lebih memberi fokus pada kerja belakang tabir dan menjadi pengurus produksi.

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 3:06pm
d