rap

Alam Wakaka kini tunangan orang

Oleh Norhayati Nordin

PENARI terkenal tanah air, Alam Wakaka, 34, selamat mengikat pertunangan dengan wanita pilihannya dikenali Nurul Alisya Najwa Hazman, 19, hari ini.

Majlis pertunangan serba indah itu, berlangsung di kediaman wanita berkenaan yang berasal dari Segamat, Johor.

Alam atau nama sebenar Haslam Abdul Rahman bersyukur majlis bahagianya dan tunang berjalan lancar, meskipun hanya dihadiri ahli keluarga terdekat masing-masing.

"Alhamdulillah, kami sudah selamat bertunang hari ini dalam majlis sederhana yang diatur. Segala urusan majlis pun dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKBB) ini. 

"Insya-Allah, jika mengikut perbincangan keluarga, kami bertunang dalam tempoh enam bulan sahaja. Majlis pernikahan dirancang akan diadakan pada Mac, tahun depan," katanya.

Menurut Alam, kedua belah keluarga juga sudah mencapai kata sepakat tidak mahu pertunangan mereka diikat terlalu lama.

"Saya mohon kepada peminat semua termasuk mereka yang mengenali kami berdua mendoakan agar semoga apa yang sudah dirancang ini menjadi kenyataan. Doakan kesejahteraan dan kebahagiaan saya bersama Alisya," katanya.

Pada majlis istimewa berkenaan, keluarga Alam membawa lima dulang hantaran dan berbalas tujuh dulang daripada pihak Alisya berserta dua bentuk cincin pertunangan untuk dipakai sesama mereka.

Menyorot pembabitan Alam dalam industri hiburan, dia bersama kumpulan Wakaka pernah dinobatkan juara program realiti tarian, So You Think You Can Dance musim pertama pada 2009.

Selain itu, Alam juga ada  membintangi filem Sayang You Can Dance dan berlakon dalam drama realiti berjudul Alam's Story, sekitar tujuh tahun lalu.

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 6:30pm
d