rap

Muzik satukan dua bakat

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PERKENALAN di Instagram sekitar dua tahun lalu membuka pintu rezeki buat dua anak muda, Muhammad Fahimi Rahmat, 23, dan Muhammad Ikhmal Mohd Hamka, 25.

Minat mendalam terhadap muzik termasuk menyanyikan semula lagu penyanyi lain dengan versi tersendiri menyatukan dua bakat ini menjadi duo, FML.

Tidak terhenti di situ, FML juga bernaung di bawah syarikat muzik, Faithful Music milik penyanyi Faizal Tahir sejak tahun lalu.

Sebagai pengenalan mereka hadir dengan single sulung berentak R&B, Payung Terjun ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, John Jeevasingham, Omar K, Fahimi Rahmat dan Ikhwan Fatanna.

Lagu terbitan Faithful Music dan edaran Universal Music itu dilancarkan sejak 24 Julai lalu termasuk muzik video rasmi di laman YouTube.

Mewakili FML, Fahimi berkata, mereka tidak menjangka video nyanyian semula yang dikongsi di IG mendapat perhatian Faithful Music seterusnya menawarkan menjadi artis di bawah syarikat itu.

"Kami kenal kerana masing-masing suka buat 'cover' lagu artis lain selain bermain alat muzik seperti gitar. Apabila melihat minat masing-masing begitu ketara, kami bergabung membuat 'cover'.

"Tak menjangka pula video yang dimuat naik di Instagram menarik minat Faithful Music melamar kami bernaung di bawah label mereka.

"Nama FML adalah gabungan nama saya (Fahimi) dan Mal (Ikhmal). Walaupun kami mempunyai pekerjaan lain iaitu saya menjual kek dan Mal berniaga kerepek, kami banyak habiskan masa meneroka bidang muzik secara sendiri.

"Saya dan Mal gemar memembuat susunan muzik sendiri secara suka-suka. Tapi, siapa tahu masa depan nanti kami boleh menjadikan bidang ini secara profesional. Kebanyakan lagu 'cover' kami komposisinya dibuat sendiri. Mal pula memiliki suara yang unik," katanya.

Menurut Fahimi, mereka juga meminati Faizal Tahir sejak sekian lama dan menjadikan penyanyi lagu Coba sebagai idola.

"Bukan nak bodek ke apa, tapi kalau dulu memang melihat Faizal Tahir dari jauh. Alhamdulillah, sekarang dapat bekerjasama.

"Memang mimpi menjadi nyata. Dalam hidup ini, tiada yang mustahil. Kami juga percaya dengan bakat dimiliki serta bimbingan serta sokongan Faithful Music, FML boleh terbang tinggi. Insya-Allah," katanya.

Berkongsi mengenai lagu Payung Terjun, Fahimi berkata, ia memberi pelbagai terjemahan maksud.

Lagu itu dirakamkan sekitar Mei lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

"Payung Terjun ini memberi simbolik bahawa dalam setiap apa yang berlaku pasti ada jalan penyelesaian.

"Kalau dilihat dalam soal jodoh kita selalu sebut kalau ada jodoh takkan ke mana. Begitu juga jika ada masalah dalam hidup, ada cara menanganinya.

"Pendek kata rezeki akan sampai, masalah akan selesai dan jodoh juga akan tiba. Dalam lirik lagu ini juga ada menyebut 'everything gonna be alright' yang tak perlu risau. Insya-Allah," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 6:20am
d