rap

"Saya akan besarkan anak sebaik mungkin" - Vivy

Oleh Najiy Jefri

PENGESAHAN lafaz cerai talak tiga terhadap isteri kedua pelakon Amar Asyraf iaitu Vivy Jeffry masih berlangsung di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Vivy ketika dihubungi berkata, pelakon itu memberikan kerjasama yang baik dalam usaha menyelesaikan konflik rumah tangga mereka.

"Sejak diceraikan dengan talak tiga pada 4 November tahun lalu, proses pengesahan di mahkamah masih berlangsung sehingga hari ini.

"Saya berterima kasih kepada Amar kerana dia memberikan kerjasama yang baik untuk selesaikan masalah ini.

"Sebenarnya, ada beberapa dokumen yang tidak lengkap dan menyebabkan mahkamah tidak dapat memberikan keputusan rasmi berhubung perceraian kami," katanya.

Menurut Vivy, dia berharap proses perceraian mereka dapat diselesaikan secepat mungkin supaya dia boleh teruskan kehidupan seperti biasa.

"Tiada apa yang saya harapkan sekarang ini, selain berdoa supaya proses perceraian dapat diselesaikan dengan cepat supaya saya boleh teruskan kehidupan dengan anak seperti biasa.

"Namun, saya harap Amar sesekali datanglah jenguk anak atau bertanya khabar pun sudah memadai.

"Insha-Allah saya akan besarkan anak dengan sebaik mungkin dan berikan kasih sayang sepenuhnya," katanya..

Terdahulu, Vivy mendedahkan sudah berkahwin dengan pelakon itu beberapa tahun lalu.

Rahsia perkahwinan mereka akhirnya terbongkar menerusi pendedahan wanita bernama Ellika Azman yang didakwa hampir berkahwin dengan Amar, namun rancangan itu gagal selepas mengetahui pelakon berkenaan mempunyai seorang lagi isteri dan anak hasil perkahwinan kedua.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 5:28pm
d