rap

Bertunang 6 bulan

Oleh Norhayati Nordin

ORANG kata, dari mata turun ke hati dan bermulalah cinta. Malah, kalau tak cinta tentunya jarak usia bukan halangan.

Apatah lagi, pada masa kini ada lelaki bertemu jodoh dengan wanita muda atau agak berusia. Begitu juga sebaliknya pada golongan wanita.

Namun, yang pasti di antara lelaki dan wanita saling melengkapi dalam kehidupan. Malah, bila 'seru' jodoh dah sampai apa nak ditunggu lagi.

Perkara yang baik, usah ditangguh lama. Apatah lagi, dua hati dah suka dan jatuh cinta. Itulah yang mungkin tercatat dalam kisah cinta penari terkenal tanah air Alam Wakaka.

Alam, 34, yang hingga jarang berkongsi kisah percintaannya kini sudah mengikat pertunangan dengan wanita pilihan dikenali Nurul Alisya Najwa Hazman, 19, pada 1 Ogos lalu.

Majlis pertunangan pasangan sama cantik dan sama padan dengan jarak usia 15 tahun itu, berlangsung di kediaman keluarga Nurul Alisya yang berasal dari Segamat, Johor.

Apa yang pasti, Alam atau nama sebenarnya Haslam Abdul Rahman tidak dapat menyembunyikan perasaan bersyukur dan gembiranya apabila majlis pertunangan itu berjalan lancar.

Meskipun hanya dihadiri ahli keluarga terdekat masing-masing, ia sudah cukup indah buat Alam dan tunangnya, Alisya kerana majlis bahagia mereka dirai meriah.

"Alhamdulillah, saya dan Alisya kini sah bertunang dalam majlis sederhana yang diatur keluarga kami.

"Segala urusan majlis pun Alhamdulillah, dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKBB) sehingga 31 Ogos ini.

"Insya-Allah, jika mengikut perbincangan keluarga, kami bertunang dalam tempoh enam bulan sahaja. Majlis pernikahan dirancang akan dibuat pada Mac, tahun depan," katanya.

Menurut Alam, kedua-dua keluarga juga sudah mencapai kata sepakat apabila tidak mahu dia dan Alisya mengikat pertunangan terlalu lama.

"Saya mohon kepada peminat semua termasuk mereka yang mengenali kami berdua mendoakan semoga apa yang sudah dirancang ini menjadi kenyataan.

"Doakan kesejahteraan dan kebahagiaan kami berdua. Malah, diucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong pembabitan saya dalam kerjaya tarian selama ini " katanya.

Pada majlis istimewa itu, keluarga Alam membawa lima dulang hantaran dan berbalas tujuh dulang daripada pihak Alisya berserta dua cincin pertunangan untuk dipakai sesama mereka.

Menyorot pembabitan Alam dalam industri hiburan, dia bersama kumpulan Wakaka pernah merangkul gelaran juara program realiti tarian, So You Think You Can Dance musim pertama pada 2009.

Selain itu, Alam juga ada membintangi filem Sayang You Can Dance dan berlakon dalam drama realiti berjudul Alam's Story, sekitar tujuh tahun lalu.

Tidak ketinggalan, Alam juga pernah menyertai pertandingan menari berkumpulan dikenali Showdown. Malah, pada tahun lalu Alam bersama kumpulan penarinya bergabung pula dengan penyanyi W.A.R.I.S menyertai pertandingan Dansa dan Sing.

Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 6:45am
d