rap

Yusof Kelana dah okay sikit…

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

KELUARGA Yusof Kelana tetap meletakkan harapan agar pengarah filem Tragedi Oktober itu sembuh dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Anak sulungnya, Nur Yusnani Omar berkata, keadaan bapanya agak baik hari ini apabila mampu menjawab panggilan telefon.

"Bapa nampak okay sikit apabila boleh 'check' telefon, tapi percakapannya memang kurang jelas.

"Semalam, keadaannya agak teruk kerana dia baru menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi sehingga buat dia macam hilang ingatan.

"Oleh kerana keadaannya sangat lemah, doktor terpaksa menghentikan rawatan dan membenarkannya keluar esok serta hanya perlu menjalani rawatan paliatif di rumah," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Yusof, 66, yang disahkan menghidap kanser kulit tahap empat dikhabarkan berada dalam keadaan tenat di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Nur Yusnani berkata, ia disebabkan sel kanser sudah merebak ke otak sehingga menjejaskan ingatan bapanya.

"Bapa sepatutnya perlu menjalani rawatan sebanyak enam sesi dan satu sesi membabitkan lima kali rawatan.

"Setakat ini bapa hanya sempat menjalani dua pusingan kimoterapi dan radioterapi, tetapi dua rawatan itu terpaksa dihentikan berikutan keadaannya semakin lemah.

"Macam hari ini, keadaannya okay pula. Apapun kami reda dengan apa saja keputusan. Namun harapan itu ada dan mungkin boleh dicuba cara lain lagi," katanya.

Yusof yang disahkan menghidap kanser pada Julai lalu, mulanya menyangka luka pada tapak kakinya hanya kecederaan biasa.

Selepas mengalami sakit dada dan terjatuh di rumah, barulah pengarah filem Bahaya Cinta dan Bidong: The Boat People itu dibawa ke hospital biarpun berulang kali diajak anaknya.

Disebabkan tidak mempunyai sejarah penyakit kencing manis, pihak hospital bertindak melakukan ujian Computed Tomography atau CT Scan dan menemui sel kanser yang sudah berada pada tahap empat.

Disiarkan pada: August 6, 2020 @ 6:48pm
d