rap

Inspirasi kisah benar

Oleh Sudirman Mohd Tahir

MASIHKAH ingat filem bergenre suspen dari Thailand, Bad Genius yang pernah menarik perhatian penggemar filem dunia sekitar 2017? Selain jalan cerita yang berjaya memukau penonton, filem yang diinspirasikan daripada kisah benar itu turut menerima pengiktirafan menerusi beberapa majlis anugerah.

Antara anugerah yang diterima Bad Genius termasuk Suntingan Terbaik dan Aktres Baharu Terbaik menerusi Asia Pacific Film Festival 2018 (APFF) dan Anugerah Khas Juri pula diterima pada ASEAN Film Festival and Awards 2018.

Mengimbas kembali perjalanan plot filem itu, filem Bad Genius memberi fokus terhadap watak utamanya, Lin, seorang pelajar pintar di sebuah sekolah yang mengaut keuntungan dengan menjual jawapan ketika peperiksaan.

Kegiatan itu berpunca daripada pertolongan yang diberikan kepada sahabatnya, Grace, yang inginkan gred terbaik bagi membolehkannya untuk menyertai kelab drama.

Pertolongan yang diberikan kepada Grace akhirnya dihidu oleh teman lelakinya, Pat dan mencadangkan supaya Lin memberikan jawapan peperiksaan berlangsung. Sebagai balasan, mereka berdua membayar Lin dengan sejumlah wang yang besar.

'Bisnes rahsia' yang dikelolakan Lin akhirnya berkembang dalam kalangan rakan sekolah sehingga dia menerima tugasan yang lebih besar, iaitu menyediakan jawapan bagi peperiksaan antarabangsa STIC.

Bagi merealisasikan impian rakannya, Lin perlu terbang ke Australia bagi menjawab peperiksaan itu terlebih dahulu mengikut zon masa negara berkenaan. Sejurus selesai menjawab, Lin perlu menghantar semula jawapan bagi peperiksaan itu kepada rakannya di Thailand.

Bagaimanapun, Lin tidak berupaya untuk melakukan tugasan bernilai jutaan Baht itu seorang diri. Justeru, Lin meminta bantuan seorang lagi pelajar pintar bernama Bank, yang kebetulan memerlukan wang untuk kelangsungan hidupnya.

Terbaharu, filem itu diadaptasi ke drama bersiri, Bad Genius The Series yang mulai ditayangkan sejak 3 Ogos lalu, namun menampilkan barisan pelakon berbeza.

Mendapat sentuhan sutradara yang popular dengan penghasilan naskhah berkisarkan mengenai kehidupan remaja, Pat Boontipat, drama 13 episod ini turut memaparkan jalan cerita serupa dengan versi filem dengan mengangkat kisah hidup empat sahabat itu.

Selain itu, terdapat juga beberapa watak baharu yang diketengahkan. June Plearnchaya yang juga anggota kumpulan vokal BNK48 menggalas watak utama iaitu Lin dan penyanyi Jaonnay Wattanasin pula diberi kepercayaan melakonkan watak Bank. Sementara itu, watak Pat pula dimainkan oleh bekas ahli kumpulan 9X9, Ice Paris manakala watak Grace pula dijayakan oleh Nana Paisarnpayak.

Bagi peminat di Malaysia, Bad Genius The Series kini boleh ditonton di saluran digital Dimsum Entertainment pada setiap Isnin dan Selasa dan ia turut ditayangkan serentak di Thailand.

Selain Bad Genius The Series, drama menarik lain yang boleh disaksikan di platform digital itu sepanjang Ogos ini termasuk Never Twice, Office Girls, Pleasantly Surprised; siri animasi ekspres dari Jepun The Millionaire Detective Balance: UNLIMITED; juga dua filem dari Vietnam, Face Off - The Imperfect Trio dan Face Off - The Walking Guest.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 6:30am
d