rap

Habiskan masa bersama suami, hadiah istimewa Siti

Oleh Norhayati Nordin

 

DAPAT menghabiskan banyak masa dengan suami tercinta diakui hadiah paling bermakna buat penghibur terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, sempena sambutan ulang tahun perkahwinannya ke-14 pada 21 Ogos ini.

Siti, 41, berkata jika dahulu dia tertunggu-tunggu hadiah istimewa daripada suami ketika mereka meraikan ulang tahun perkahwinan.

"Bagaimanapun, sekarang hadiah bukan utama.  Lagi pun, kena faham situasi sekarang jangan terlalu menunjuk-nunjuk. Pada saya, cukup kami berpeluang habiskan masa bersama.

"Paling utama, saya sangat bersyukur dalam kehidupan rumah tangga yang dibina ini Allah SWT hadirkan kebahagiaan buat kami sekeluarga.

"Apa yang Allah berikan selama ini adalah terbaik. Malah, kehadiran Siti Aafiyah sangat menceriakan lagi keluarga kami," katanya.

Ujar penyanyi lagu Cindai ini, dalam perkahwinan kena saling menjaga hati pasangan. Begitu juga sentiasa menyokong minat di antara satu sama lain.

Sehubungan itu, Siti berkongsi perancangan aktiviti sempena meraikan sambutan ulang tahun perkahwinannya dengan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. 

 "Saya dan suami, kali ini merancang meraikan ulang tahun perkahwinan kami di Bukit Fraser lebih awal pada 9 Ogos ini bersama pasukan Kelab Berbasikal CTDK.

"Kami berdua sudah mengaturkan acara untuk aktiviti berbasikal dengan kelab CTDK yang ditubuhkan dan hingga kini sudah dianggotai lebih 30 orang," katanya.

Menurut Siti, dia bersama suami mempunyai minat sama iaitu aktif berbasikal. Jadi, penganjuran acara itu memberi peluang  mereka bersama Kelab CTDK menyahut cabaran berbasikal di Bukit Fraser.

Untuk rekod, Siti dan suami bernikah pada 21 Ogos 2006 dan selepas 11 tahun hidup bersama mereka dikurniakan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah, berusia dua tahun.

Siti yang juga anak kelima daripada lapan beradik, memiliki empat orang anak tiri lelaki, hasil perkahwinan terdahulu suaminya.

Terdahulu, Siti hadir di majlis pembukaan Pusat Penjagaan dan Kesihatan Beauty & Co di pusat membeli -belah terkemuka, The Garden.

 

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 10:38pm
d