rap

Mesej universal 'Terima Kasih'

Oleh Georgie Joseph

SEBAGAI pendatang baharu, nama Aisha Retno kian menjadi perhatian pengikut muzik tempatan. Bakat muzik dimilikinya terbukti sangat berkualiti selain nyanyiannya cukup bermutu.

Sejak single pengenalannya Mengikat Jiwa menjadi siulan ramai, langkah Aisha dalam karier muziknya semakin jelas. Kesungguhannya berhasil dan momentum penghasilan karyanya juga konsisten.

Terbaharu, dia tampil dengan single duet berjudul Terima Kasih pula bersama Yuka Kharisma. Penyanyi berdarah Indonesia-Malaysia ini mengakui lagu itu dibuat sebagai penghargaan ikhlas buat barisan hadapan.

"Lagu Terima Kasih kami sampaikan dengan penuh sentuhan kasih sayang kepada semua yang sudah sama-sama bertungkus-lumus membantu kami sepanjang wabak Covid-19 melanda.

"Inti patinya dihuraikan sebagai tanda penghargaan kepada semua barisan hadapan yang terbabit, rakyat yang patuh berkurung di rumah, pejuang lain dan kami sampaikan khas lagu bersama anda dalam doa kami," katanya.

Berkongsi lanjut, Aisha mengakui hatinya diketuk kuat mengenangkan pahit getir dihadapi wira negara menangani pandemik Covid-19.

"Merekalah yang selayaknya menerima segala ucapan terima kasih daripada rakyat Malaysia. Segala doa yang baik-baik juga perlu didahulukan buat mereka.

"Lagu ini membawa mesej yang sangat universal dan kasih tidak berpenghujung buat setiap insan yang berusaha membantu kita semua melepasi rintangan pandemik ini.

"Sesungguhnya, situasi sekarang sangat di luar jangkaan yang menggoncang seisi dunia. Hanya ucapan terima kasih tidak terhingga dalam bentuk ritma dan melodi sekurang-kurangnya yang kami mampu untuk membalas pengorbanan mereka," katanya.

Bersempena Kempen Bring The Beat iaitu sebuah inisiatif terbaharu Sony Music Malaysia, Aisha tidak ketinggalan mengerah kreativiti untuk tampil dengan karya ini. Kempen Bring The Beat bertujuan untuk menggalakkan artis naungan Sony Music Malaysia untuk hasilkan lagu bagi mengembangkan daya kreatif mereka.

Terutama dari segi mencipta lagu serta menulis lirik sendiri, bukan semata-mata sekadar menyanyi saja. Selain Aisha, artis lain yang turut mencabar diri merealisasikan misi kempen ini termasuk Benzooloo, Qiff, Syabil, Sandra Dianne dan B-Heart.

Sekali gus, kempen ini akan membuktikan bahawa artis Sony Music Malaysia bukan sahaja berbakat bahkan kreatif serta bermutu dalam penghasilan lagu.

Aisha adalah siswazah dalam jurusan ekonomi di Universiti Malaya dan antara pendatang baharu seni suara yang cukup dikagumi vokalnya.

Menjadikan Mariah Carey dan Ariana Grande antara idolanya, vokal Aisha mempunyai laras yang begitu fleksibel dan penggunaan teknik 'head voice' cemerlang.

Corak nyanyian Aisha juga banyak dipengaruhi vokalis wanita hebat lain termasuk penyanyi tempatan Dayang Nurfaizah.

Mewarisi bakat seni ibunya yang juga bekas penyanyi terkenal di Indonesia, Aisha mula didedahkan dengan muzik seawal zaman kecilnya.

Memperjuangkan muzik R&B dan soul, Aisha cukup selesa menghibur di pentas dan pernah beraksi di Festival Perancis di The Square, Publika, artis pembukaan showcase kumpulan terkenal CNCO, acara muzikal RIUH dan banyak lagi.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 6:45am
d