rap

Mesej kehidupan B-Heart

Oleh Georgie Joseph

SEMAKIN melebarkan sayap dalam muzik hip hop tempatan, B-Heart atau nama penuhnya Hairi Azrie Henri, 24, terus berusaha mencari ruang yang kukuh.

Usaha kerasnya untuk tampil dengan karya berkualiti tidak putus dan dia kini tampil dengan lagu SLMT.

SLMT yang juga ringkasan daripada perkataan Selamat memiliki nilai sentimental tersendiri buat dirinya secara peribadi.

Berkongsi mengenai lagu baharunya itu, B-Heart mengakui kehidupan dilaluinya bermula sejak dia di kampung halaman sehingga ke tahap sekarang banyak mencetus inspirasi.

Justeru, dia menjadikan SLMT sebagai medium bercerita pelbagai mesej kehidupan terutama menyentuh mengenai aneka ragam manusia sekarang terutama masyarakat kita.

"Lagu ini menceritakan mengenai pemerhatian saya terhadap aneka ragam dan kisah yang berlaku di sekeliling saya. Inspirasi saya adalah kehidupan itu sendiri.

"Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak isu yang berlaku dalam pelbagai aspek terutama sekali dalam industri seni tanpa mengira waktu. Disebabkan itu, pada bahagian korus, saya gunakan lirik 'macam-macam aneka ragam pabila selamat pagi, selamat malam'.

"Pada masa sama, saya mahu pendengar ketahui asal usul saya yang mana saya selitkan lirik 'SLMT, SLMT' di awal perenggan. SLMT dipendekkan daripada SELAMAT," katanya.

Bangga menjadi anak jati Kuantan, Pahang, B-Heart mahu menyerlahkan diri sebagai seorang yang mampu membanggakan kampung halamannya.

"Ia adalah satu tempat saya banyak luangkan waktu membesar sewaktu di Kuantan yang dikenali sebagai Kampung Selamat. Saya ingin menjadi pelopor mewakili Kuantan serta mahu mengembangkan nama samaran Kuantanamo/Kuantanamobay saya," katanya.

Diterbitkan bersama rakan akrabnya Izzad, B-Heart akui karya itu sangat bermakna di hatinya. Apatah lagi Izzad sendiri adalah insan yang tidak putus menjadi tulang belakangnya selama ini termasuk menghasilkan lagu Emas (Feat. Izhar & Tulangkata).

Apapun, dia tentunya paling menekankan mesej lagu itu sendiri.

Baginya, manusia perlu mengambil teladan dalam hidup dan sentiasa belajar daripada kesilapan lalu.

"Mesej yang ingin cuba saya sampaikan adalah dalam kehidupan itu sendiri akan berlaku pelbagai kisah masing-masing. Tak kiralah ia sahih ataupun sekadar khabar angin.

"Ia juga tidak mengira baik waktu siang atau malam. Sepanjang perjalanan hidup kita, sebagai manusia biasa, kadangkala kita terleka. Jadi dengan lagu ini saya memberi kata semangat sebagai nasihat bermanfaat kepada seramai boleh yang mendengarnya," katanya.

Bersempena kempen Bring The Beat iaitu sebuah inisiatif terbaharu Sony Music Malaysia, B-Heart tidak ketinggalan mengerah kreativiti untuk tampil dengan karya ini.

Kempen Bring The Beat bertujuan untuk menggalakkan artis naungan Sony Music Malaysia untuk hasilkan lagu bagi mengembangkan daya kreatif mereka terutama dari segi mencipta lagu serta menulis lirik sendiri, bukan semata-mata sekadar menyanyi saja.

Selain B-Heart, artis lain yang turut mencabar diri merealisasikan misi kempen ini termasuk Aisha Retno, Benzooloo, Qiff, Syabil dan Sandra Dianne.

B-Heart sebelum ini pernah tampil dengan single sulungnya berjudul Bilang Mama pada tahun lalu. Dia membesar dengan industri rap bawah tanah di Kuantan dan menganggotai YMYFAM (Young Malaysian Familia).

Sebelum ini dia juga mewakili kampung halamannya pada pertandingan bakat DiGi Live Sekolahku Berbakat. Misinya adalah mahu menjadi wakil kepada suara-suara yang tidak didengari di luar sana menerusi muziknya.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 6:45am
d