rap

Blackpink bergabung dengan Selena Gomez

Oleh Agensi

KUMPULAN popular Korea Selatan, BLACKPINK mengesahkan bakal bekerjasama dengan penyanyi Amerika Syarikat, Selena Gomez.

Pengesahkan itu dikongsikan agensi BLACKPINK, YG Entertainment dan dimuat naik di akaun Instagram rasmi kumpulan itu melalui poster pengenalan single terbaharu BLACKPINK.

"BLACKPINK & Selena Gomez," tulisnya di poster berkenaan.

Sebelum ini, timbul khabar angin yang mendakwa dua penghibur hebat antarabangsa ini bakal bersatu menerusi single terbaharu sejak 28 Julai lalu.

Namun, YG Entertainment meminta peminat yang dikenali BLINK bersabar menantikan pengesahan rasmi daripada mereka.

Dalam pada itu, agensi turut memaklumkan bakal mengumumkan judul lagu hasil kerjasama BLACKPINK dan Gomez itu.

Difahamkan single bersama Gomez akan dilancarkan pada 28 Ogos ini dan menjadi kerjasama ketiga BLACKPINK dengan penyanyi antarabangsa.

Sebelum ini, BLACKPINK pernah bekerjasama dengan Dua Lipa dalam lagu Kiss and Make Up pada 2018, dan Lady Gaga menerusi lagu Sour Candy pada Mei tahun ini.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 5:13pm
d