rap

Mampu menari dalam gelap

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Ryan Deedat mengakui mengalami masalah kebimbangan atau 'anxiety', namun masih dapat dikawal dengan baik.

Ryan berkata, perasaan kebimbangan itu mula tercetus apabila memikirkan mengenai ketidaktentuan karier dan bimbangkan kesihatan ibunya.

Siapa sangka, walaupun menghidap 'anxiety', Ryan tidak mudah patah semangat, malah tampil dengan single terbaharu berjudul Menari Dalam Gelap (MDG).

"Tercetusnya idea untuk menulis lagu ini adalah ketika saya berhadapan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mengalami masalah 'anxiety'.

"Ketika itu, perasaan kebimbangan ini mencetuskan perasaan takut terkena jangkitan Covid-19, saya memikirkan mengenai masalah ketidaktentuan karier dan pada masa yang sama, saya bimbangkan kesihatan ibu saya.

"Pada masa itu, saya menyertai sebuah kumpulan di Facebook iaitu 'Gerd and Anxiety'. Di situ saya nampak ramai sebenarnya yang mempunyai pengalaman seperti saya, malah ada yang lebih teruk," katanya.

Lagu ciptaannya bersama Heil Nuan itu bertujuan memberikan kesedaran kerana ramai orang tidak memahami masalah kebimbangan dan kemurungan.

"Saya nak mewakili orang-orang yang ada masalah ini dengan cara saya menulis lagu ini. Selain itu, saya mengekspresikan perasaan orang yang mempunyai masalah kebimbangan dan depresi dalam lagu ini.

"Lagu ini mengangkat rentak trap pop dan ia kena dengan gaya muzik semasa. Jadi, lagu ini bukan hanya boleh berkait dengan orang dewasa, tetapi boleh menyentuh jiwa remaja yang berhadapan dengan masalah ini," katanya.

Ryan turut berharap single keempat yang baru dilancarkan di YouTube menerima sambutan baik semua peminat.

"Keistimewaan lagu ini terletak pada genrenya yang berentak trap pop yang mana ia bersesuaian dengan trend sekarang.

"Jadi lagu ini bukan hanya boleh ditujukan kepada orang dewasa malah juga remaja yang berhadapan dengan masalah ini," katanya.

Menurut Ryan, dia berharap individu yang mengalami masalah 'anxiety' supaya elakkan diri dengan perkara negatif yang boleh mempengaruhi minda.

"Pesanan saya kepada individu yang mengalami 'anxiety' supaya sentiasa tenangkan diri dan elakkan baca benda negatif sebab boleh

mempengaruhi minda dan akal kita. Lebihkan perkara spiritual seperti solat, yoga dan sebagainya," katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 6:45am
d