rap

Konsert 'virtual': Siti Nurhaliza dapat rasa keistimewaannya

Oleh Syafil Syazwan Jefri

IMPAK pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap industri muzik.

Pada peringkat awal, ia seperti 'melumpuhkan' industri muzik apabila sebarang konsert dan persembahan membabitkan ramai penonton tidak dibenarkan.

Namun, amalan norma baharu membuatkan industri muzik kembali bernafas apabila penyanyi kembali berpeluang mengadakan konsert walaupun ia secara maya atau 'virtual'.

Penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza menganggap konsert secara maya adalah satu langkah terbaik buat masa sekarang dan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Siti yang baru-baru ini muncul menerusi konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool dan sebelum itu pernah mengadakan persembahan bagi mengutip sumbangan untuk Dana PKP Siti Nurhaliza berkata, konsep norma baharu itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang bekerja dalam industri muzik.

"Bagi saya, konsert maya ada keistimewaannya juga kerana golongan artis atau penyanyi masih dapat membuat persembahan serta menghiburkan peminat walaupun tidak secara berdepan.

"Persembahan dalam norma baharu ini adalah satu usaha bagi menyemarakkan lagi industri muzik kerana baik penyanyi, pemuzik, penyanyi latar, penerbit ataupun karyawan belakang tabir dapat meneruskan pekerjaan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu ini, perasaan janggal membuat persembahan di depan penonton secara maya hanya muncul di peringkat awal.

"Pada peringkat awal saja kita berasa sedikit janggal, tetapi apabila sudah mula menyanyi dan melihat reaksi dan sambutan penonton di skrin (aplikasi Zoom), semuanya berlangsung seperti biasa.

"Menyanyi tanpa penonton di hadapan secara langsung tetapi ditonton menerusi YouTube atau Zoom serta dapat berinteraksi menerusi panggilan video, perbualan 'online' dan sebagainya membuatkan saya harus lebih peka, kreatif serta berusaha lebih supaya setiap penonton tetap berpuas hati dan terhibur.

"Sewaktu menjayakan persembahan, saya merasakan peminat atau penonton seolah-olah ada di hadapan dan mereka bertepuk tangan, bersorak serta memberi respon kepada pertanyaan saya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 4:02pm
    d