rap

Mat rock jadi rakan kongsi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

IDEA dan kreativiti kumpulan Pelita Lusoh tidak pernah terpadam.

Selepas Kekaseh Syurga, trio yang dianggotai Aweera (penyanyi, gitar), Alan (gitar) dan Hanif (drum) tampil dengan single terbaharu berjudul Kembara Nabawi.

Menariknya, pelancaran dan muzik video single ini dibuat secara besar-besaran bersama produk penjagaan kulit Ali Zahraa 'Madeena' di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Pelita Lusoh menjadi rakan kongsi bagi produk ini.

Hanif atau Anep berkata, ia adalah satu perkara baharu buat Pelita Lusoh kerana melangkah setapak lagi dalam bidang produk penjagaan kulit.

"Asia Empire Records dan Pelita Lusoh Production kini semakin melebarkan sayap dalam industri hiburan tanah air. Syukur selepas dua tahun beroperasi, kami sudah memiliki studio rakaman, pengurusan artis, produksi muzik video, artis naungan dan pelbagai lagi.

"Justeru, tiba masanya Pelita Lusoh kembangkan perniagaan dengan sesuatu yang baharu," katanya yang juga Pengarah Urusan Asia Empire Records.

Menerusi kerjasama ini Pelita Lusoh dan produk berkenaan melahirkan lagu Kembara Nabawi hasil ciptaan Pelita Lusoh dan lirik FJ Muzik.

"Kami turut tampilkan pemuzik jemputan seperti Daus dari kumpulan Drama Band sebagai pemain bass dan Rudy (Nastia) untuk bunyian strings. Proses rakaman dan adunan dibuat sepenuhnya di Asia Empire Records Studio.

"Penulisan lirik lagu ini berkisarkan mengenai perjuangan dan kehidupan Rasulullah SAW dalam menegakkan serta mengembangkan syiar Islam," katanya.

Menurutnya, penggambaran muzik video rasmi Kembara Nabawi turut dibuat di studio Asia Empire Records sepenuhnya ketika proses rakaman berlangsung.

Dalam masa sama, mereka dalam perancangan menghasilkan sebuah filem dan drama bersiri.

Memandangkan populariti mereka melangkaui negara Jepun, Indonesia dan Thailand, Pelita Lusoh berhasrat mempromosi lagu Kembara Nabawi di negara terbabit.

Maklumat lanjut mengenai kumpulan ini boleh didapati menerusi Facebook dan Instagram PelitaLusoh.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 6:30am
d