rap

Sam2020 semarak perpaduan

Oleh Georgie Joseph

SEMANGAT perpaduan yang dilaungkan sejak Malaysia merdeka pada tahun 1957, sememangnya boleh diterjemahkan dalam pelbagai medium. Namun, yang pasti terjemahan menerusi lagu sentiasa menyentuh jiwa ramai untuk diingati sampai bila-bila.

Terbaharu, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tampil dengan projek lagu Saya Anak Malaysia 2020 (SAM2020) bagi menyemarakkan semangat perpaduan rakyat negara ini.

Memberi suntikan nafas baharu kepada lagu Saya Anak Malaysia nyanyian asal Uncle Sam, pemilihan karya ikonik itu satu percaturan tepat. Apatah lagi, boleh dikatakan semua lapisan umur tahu dan menghafal lirik lagu terbabit.

Paling menarik, pengarah berkaliber iaitu Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin menggalas mandat sebagai sutradara untuk muzik video SAM2020.

Berkongsi mengenai projek istimewa itu, Raja Mukhriz mengakui dia teruja untuk tampil dengan konsep yang segar terhadap lagu berkenaan.

"Saya dilantik untuk mengetuai penggambaran muzik video ini. Malah, urusan praproduksi sudah dimulakan beberapa minggu sebelum sambutan Aidiladha. Syukur, pelaksanaannya berlaku agak pantas dalam tempoh masa singkat yang amat bermakna.

"Malah, kami sepakat memilih semua penuntut Ijazah Sarjana Industri Kreatif UUM untuk terbabit sebagai projek akhir tahun. Merekalah yang ditugaskan untuk menjayakan projek muzik video ini, manakala susunan semula lagu diuruskan Kautsar Matsin.

"Daripada situ, saya bersama pasukan kandungan cuba meneroka lirik berdasarkan susunan terbaharu yang lebih besar itu. Pada tahun 2018 pun ada satu versi lagu itu, jadi saya tampil dengan konsep lebih menekankan tema perpaduan," katanya.

Berkongsi lanjut, Raja Mukhriz berkata, dia sebolehnya mahu muzik video itu berwarna-warni dan menggambarkan keadaan sebenar Malaysia. Justeru, dia menerapkan elemen berbilang bangsa sebagai nadi utama dalam penghasilan.

Meskipun berdepan cabaran tersendiri, dia tidak melihat cabaran daripada segi masa sebagai kekangan. Baginya, komitmen yang ditunjukkan semua yang terbabit membuatkan dia lebih bersemangat untuk menyempurnakan muzik video itu.

"Kami mengadaptasi konsep berdasarkan sebuah foto kabinet pertama pada 1959. Kemudian, kami hidupkan foto itu kepada watak-watak baharu yang terbabit dalam muzik video ini. Dalam muzik video ini, ditonjolkan juga pengaruh British, China, Jepun, Melayu dan lain-lain kaum.

"Konsep keseluruhannya memang benar-benar berhubung kait dengan berbilang bangsa. Saya tak mahu lagu ini kelihatan biasa dan membosankan orang yang menontonnya.

"Ditambah lagi, perbelanjaan untuk merealisasikan projek ini sepenuhnya datang daripada banyak penaja kepada Kementerian Perpaduan Negara.

"Jadi, cabaran utamanya adalah untuk melaksanakan penghasilan projek ini dalam masa singkat dan kami ingin pastikan hasilnya berjaya dibuat hampir sempurna. Walaupun tak boleh jadi sempurna sepenuhnya, tapi kami cuba tampilkan apa yang dipakai individu dalam foto 1959 itu kena sama dengan watak dicipta.

"Kami berusaha untuk spesifikkan apa yang terjadi di Malaysia selepas tahun itu. Apapun, saya cukup tabik apabila masing-masing memberikan komitmen yang sangat mengagumkan demi penggambaran dua hari itu," katanya.

Menampilkan 20 penyanyi termasuk Jaclyn Victor, Tomok, Dina Nadzir, Zahid, Ayu Damit, Altimet, Fattah Amin, dan ramai lagi, susunan vokal antara elemen turut dititikberatkan. Selaku individu yang bertanggungjawab dalam susunan itu, Dina akui auranya cukup berbeza.

"Saya ditugaskan sebagai penyanyi dan juga terbabit dalam susunan vokal bersama Zahid untuk semua penyanyi yang menyumbang suara. Proses rakaman dibuat minggu lalu dalam masa tiga hari untuk 20 penyanyi.

"Kerjasama diberikan semua penyanyi memang sangat baik. Misalnya Tomok sendiri, dia berjaya melunaskan bahagian nyanyiannya dengan sangat pantas daripada tempoh diberikan.

"Bagi saya lagu ini memang sangat menyeronokkan dan aura patriotiknya berada pada tahap lain. Ini disebabkan lagu patriotik lain lebih serius serta liriknya berat. Apapun, bekerjasama dengan KPN dapat dirasakan semangat kesatuan kuat yang memang wujud sepanjang projek ini.

"Meskipun pembabitan saya ini lebih kepada membantu projek akhir senior di UUM, tapi saya bangga menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Penggambaran muzik video SAM2020 berlangsung pada hujung minggu lalu selama dua hari di Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Seramai 250 bakat termasuk artis profesional serta 70 pelajar UUM terbabit menjayakannya.

Muzik video terbabit dijadualkan akan dimuat naik di YouTube rasmi KPN sebelum sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini. Meskipun ia projek sempena Hari Malaysia, misi utama lagu SAM2020 adalah untuk mengukuhkan perpaduan rakyat seluruh negara.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 6:40am
d