rap

Vanny mahir menari Jaipong

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

WAJAH cantik memukau serta fotogenik menjadi pakej buat pendatang baharu dikenali Vanny Nur Rizqi, melangkah masuk dalam industri hiburan Indonesia.

Istimewanya lagi, selain memiliki bakat menyanyi, Vanny yang berasal dari Bandung juga turut mahir menari jaipong serta bergelar model.

Berbekalkan kelebihan ini, tidak hairanlah apabila dia dilamar bernaung dengan syarikat rakaman Muzik Dua Karya hasil kerjasama Malaysia dan Indonesia pada hujung tahun lalu.

Vanny, 18, nyata diberikan kepercayaan besar menyanyikan semula lagu Syexsi nyanyian asal Regina Xenia yang kini diberi judul Seksi.

"Alhamdulillah, saya diterima untuk bersama Muzik Dua Karya dan menyanyikan semula lagu ini. Ia satu penghargaan buat saya.

"Saya juga tidak melihat peluang ini sebagai kurang bagus kerana merakam semula lagu. Tapi, saya berbesar hati kerana diminta menyanyikannya oleh Ririd selaku komposer.

"Selain itu, ada perbezaan agak menarik kerana Ririd sendiri memberikan nafas baharu pada lagu ini dan muziknya cukup padat," katanya.

Vanny berkata, selain lagu Seksi itu, dia juga diberi peluang merakamkan lagu solo baharu berjudul Raja Gombal untuk peminatnya.

"Lagu ini berkonsepkan dangdut moden dan mempunyai warna muzik khas serta berbeza dengan lagu lain. Saya suka dengan rentak lagunya.

"Dengan pengalaman menari jaipong, saya akan menyanyi lagu Raja Gombal sambil menari dan tiada masalah untuk kekalkan stamina.

"Bagaimanapun, saya tak nafikan begitu berharap semoga kedua-dua lagu yang dirakamkan ini dapat diterima peminat dan menjadi hits," katanya.

Vanny mula aktif menari jaipong sejak di sekolah rendah dan pernah mewakili Jawa Barat untuk pertandingan tarian itu yang diadakan di Taman Mini Jakarta.

"Saya banyak sertai pertandingan tarian, walaupun awalnya saya malu untuk menari. Tapi, melalui bimbingan tenaga pengajar profesional, saya akhirnya mahir menari jaipong.

"Pembabitan saya berhasil apabila sering bergelar juara dalam pertandingan menari jaipong yang disertai. Termasuk, mendapat banyak piala penghargaan.

"Saya hanya tahu asas menari sahaja. Namun, apabila melihat orang menyanyi terus timbul pula minat dan tak sangka saya juga ada bakat dalam nyanyian," katanya.

Vanny kini lebih fokus pada nyanyian, namun dalam masa sama aktif dalam tarian dan peragaan. Katanya, setiap peluang yang datang tak boleh ditolak.

Pada Februari lalu, Vanny tampil menghiburkan pengunjung di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

"Sebelum ini, saya hanya dikenali di Bandung dan pernah diundang menyanyi di wilayah dalam Indonesia seperti Palembang, Jakarta, Makassar, Surabaya dan Bogor.

"Apapun, saya rasa senang dapat berkunjung ke Malaysia. Malah, saya bersyukur kerana peminat di kalangan warga Indonesia dan Malaysia terhibur dengan persembahan dibuat.

"Kini, apa yang diharapkan adalah lagu saya diterima baik oleh peminat di Malaysia sekali gus dapat datang lagi menyanyi di sini," katanya.

Memandangkan usia masih muda, Vanny juga tidak berselindung dia mempunyai impian mahu menyambung pengajian dalam jurusan seni pada tahun depan.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 6:40am
d