rap

Filem Geran diiktiraf di luar negara

Oleh Norhayati Nordin

PENGARAH filem Geran, Areel Abu Bakar menyifatkan kemenangan filem arahannya itu di Festival Filem Asia New York (NYAFF) ke-19 sebagai rezeki tak pernah difikirkan dan sangat bermakna.

Areel berkata, filem berkenaan bukan hanya diarahkan tetapi turut diterbitkannya sendiri mengikut perbelanjaan yang ada selepas dikumpul beberapa tahun.

"Tak mudah untuk saya hasilkan filem ini. Saya mengeluarkan sepenuhnya sumber kewangan sendiri untuk memastikan impian ini berhasil.

"Bukan saya tidak berusaha mencari pelabur untuk menyalur dana tetapi kebanyakannya lebih melihat pada pulangan keuntungan akan diraih filem ini selepas ditayang pawagam.

"Ada pelabur yang kurang yakin dengan filem ini dan mempersoalkan apakah akan ada orang tengok kerana saya cuba mengangkat budaya seni silat Melayu untuk diketengahkan," katanya.

Areel berkata, dia tak patah semangat kerana yakin budaya Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum termasuk warisan seni pertahankan diri seperti silat boleh diketengahkan di layar perak.

Geran yang diterbitkan Layar Pictures dan Tree of Hopes Productions menerima Anugerah Daniel A Craft di festival filem berkenaan.

Pengumuman itu dilaporkan EasternKicks.com yang juga media rasmi NYAFF. Ia sekali gus meletakkan Areel setaraf pengarah filem terkenal lain seperti Dante Lam (Operation Red Sea), Yue Song (The Bodyguard) dan Jung Byung-gil (The Villaines) yang pernah diangkat sebagai pemenang anugerah kecemerlangan filem aksi.

Areel berkata, dia menghasilkan filem itu kerana mahu mengangkat jati diri dan warisan budaya negara.

"Saya tidak langsung melihat untuk jumlah kutipan akan diperoleh. Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan berharap ia menjadi inspirasi kepada pembikin filem tempatan untuk menghasilkan lebih banyak filem berteraskan keunikan jati diri warisan negara," katanya.

Mengulas pemilihan filem Geran, Areel berkata, dia dihubungi pihak NYAFF pada Oktober tahun lalu selepas filem itu tamat tayangan di pawagam.

Katanya, dia hanya menghantar pautan filem itu kepada penganjur dan menyerahkannya pada rezeki. Apatah lagi, produksinya bergerak secara 'independent'.

"Sebaik mengetahui filem Geran dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daniel A Craft, saya sangat bersyukur. Impian nak bawa nama negara ke mata dunia daripada karya filem berhasil. Kemenangan ini memang saya tak sangka," katanya.

Areel menyiapkan penggambaran filem Geran pada 2017 dan ditayangkan tahun lalu.

Mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan, filem itu dibintangi Nam Ron, Aeril Zafrel, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng dan Megat Shahrizal.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 5:05pm
d