rap

Tak pasal-pasal ibu jari Azharina retak

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Azharina berdepan detik sukar apabila ibu jari tangan kirinya disahkan mengalami keretakan selepas dua minggu menanggung kesakitan.

Azharina yang popular menerusi lagu Elegi Sepi berkata, pada awalnya dia tidak mengendahkan rasa sakit itu kerana tidak ada tanda-tanda bengkak.

"Saya sudah rasa sakit sejak dua minggu lalu, tapi tak ada tanda-tanda bengkak atau apa. Saya pun tak pasti kenapa rasa sakit ini boleh muncul.

"Nak dijadikan cerita, beberapa hari lalu, saya keluar bersama rakan saya yang juga seorang orang kelainan upaya (OKU) untuk makan di sebuah restoran.

"Saya memimpinnya ketika berjalan kerana perlu menaiki tangga dan rasa sakit itu nampaknya semakin menjadi-jadi," katanya.

Disebabkan tidak mampu menanggung kesakitan, Azharina kemudiannya meminta nasihat doktor yang juga kenalannya.

"Dia menasihatkan saya supaya membuat pemeriksaan di klinik dan melakukan X-ray kerana takut ada tulang patah atau apa.

"Jadi, semalam saya ke klinik dan menjalani X-ray dan doktor mengesahkan tulang ibu jari tangan kiri saya itu retak dan hanya akan sembuh sepenuhnya antara tiga hingga enam bulan," katanya.

Lebih sukar, Azharina seorang kidal yang banyak menggunakan tangan kiri.

"Itu menambah lagi cabaran buat saya kerana saya adalah seorang yang kidal. Tapi, saya anggap ini adalah ujian daripada Allah dan sakit ini adalah penghapus dosa," katanya.

Dia kini terpaksa berehat dan tidak dapat melakukan kerja-kerja berat atas nasihat doktor.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 6:16pm
d