rap

30 filem pendek berentap

Oleh Najiy Jefri

MEMASUKI edisi ke-4, penganjuran Festival Filem The SeaShorts terus kukuh.

Penganjuran pada 12 hingga 20 September ini kembali dengan sajian filem pendek yang pastinya lebih menarik.

Walaupun berdepan pandemik Covid-19 dan perlu berhadapan norma baharu, Festival Filem The SeaShorts turut mengiktiraf karya filem pendek dari seluruh Asia Tenggara.

Menerusi penyertaan 544 filem pendek, sebanyak 30 pencalonan akan bersaing untuk Anugerah SeaShorts yang menjadi dambaan penggiat seni dalam usaha negara untuk ke Next New Wave Award.

Senarai filem pendek yang bakal bersaing akan merebut hadiah dalam kategori pengarahan, penulisan skrip, sinematografi, penyuntingan, bunyi dan lakonan.

Pemenang akan ditentukan oleh juri yang terdiri daripada pembuat filem Cambodian French, Davy Chou; sinematografi handalan dari Indonesia, Anggi Frisca; penerbit dari Filipina Bianca Balbuena; jurutera bunyi Singapura Rennie Gomes dan sejarawan Malaysia Dr Farish A Noor.

Setiap saringan tayangan akan diakhiri dengan sesi soal jawab dan bengkel yang bakal dikelolakan oleh pemain industri.

Pengasasnya, Tan Chui Mui berkata, penganjuran anugerah itu adalah untuk mencabar pembuat filem untuk lebih kreatif dalam menyampaikan setiap naskhah.

"Kami ingin mencabar pembuat filem untuk menyampaikan naratif dan teknik yang benar-benar asli.

"Barisan pemain industri yang mengambil bahagian sudah melebihi jangkaan kami dan kami gembira dengan potensi mereka dalam menyampaikan mesej terhadap isu semasa dan mencabar kemampuan mereka," katanya.

Dalam pada itu, pengarah bersama festival berkenaan, Nicholas Chee berkata, setiap kali musim penganjuran pihaknya teruja untuk berkongsi karya filem pendek yang berkualiti kepada umum.

"Kami beruntung dan teruja kerana setiap tahun dapat berkongsi sebahagian besar penceritaan filem pendek daripada penggiat kreatif yang teruja membawakan karya baharu.

"Pembuat filem pendek ini juga sentiasa ingin menampilkan kelainan dalam setiap naskhah yang dibawakan. Sentiasa segar dalam menyediakan penceritaan baharu kepada penonton," katanya.

Bagi yang berminat untuk mengikuti festival terbabit tiket sudah mula dijual menerusi laman web rasmi seashorts.org.

Sebanyak enam filem pendek diwakili Malaysia dalam festival filem terbabit. Antaranya Aishah arahan Sayyid Hannan.

Selain itu, terdapat juga karya daripada Vincent Kong Tentao berjudul By The Southern Sea, Kampung Gajah (Yoeng Kuok Hong), Peon (June Wong, Shaiful Yahya, & Syaz Zainal), The Cloud Is Still There (Mickey Lai Loke Yee) dan The Quiet (Radheva Jegatheva).

Filem Pendek SeaShorts mula dibangunkan oleh pembuat filem Tan Chui Mui pada 2017.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 6:12am
d