rap

Sedih atau tak, hanya Allah yang tahu

Oleh Georgie Joseph

BALU kepada Allahyarham Abam Bocey, Situ Nurhidayah Mohd Ali, 28, berkongsi luahan ada pihak menuduh dia tidak bersedih pun dengan pemergian suaminya pada Februari lalu.

Nurhidayah berkata, dia reda dengan tuduhan sedemikian dan lebih memilih untuk mengikut pesan arwah suami supaya tidak mengendahkan cakap-cakap luar.

"Ada orang berkata saya tak sedih dengan kematian suami. Tak apalah, cakaplah apa pun. Allah yang Maha mengetahui segalanya. Ingat lagi pesan arwah suami biarlah apa pun orang nak kata kita mereka bukan bagi kita makan.

"Janji kita dengan cara kita jangan berhenti berdoa Allah sentiasa ada bersama kita. Kesedihan tak perlu ditunjuk-tunjuk. Bersedih (selain takut kerana Allah) tidak diajarkan dalam agama. Bahkan kita banyak menemui ayat mahupun hadis yang melarang kita untuk bersedih," katanya.

Pada 10 Februari lalu, Abam yang juga anggota kumpulan Bocey meninggal dunia secara mengejut di kediamannya dan ketika pengebumian lebih 2,000 orang mengiringi jenazahnya dari masjid hingga ke tanah perkuburan.

Nuridayah dan Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan mendirikan rumah tangga pada 2017 dan mereka dikurnia seorang cahaya mata lelaki.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 5:11pm
d