rap

Tuah main Caklempong

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PAKEJ lengkap wajah cantik dan penampilan menarik Nur Adhariah Kamaruzaman berjaya memikat pemilik Papa Jup Production Sdn Bhd apabila bertindak melamarnya sebagai artis mereka.

Nur Adhariah, 26, atau Adhariah kini tampil dengan single pertamanya berjudul Kembalikan berkonsepkan balada hasil idea Juhana Asri dan Zamzoy serta mendapat sentuhan akhir komposer popular Sharon Paul.

Adhariah yang aktif menyanyi sejak di bangku sekolah berkata, peluangnya bergelar artis rakaman hadir ketika mengadakan persembahan tradisional caklempong.

"Saya sebenarnya tak pernah terlintas nak jadi artis rakaman. Saya memang aktif buat persembahan caklempong di sekitar Lembah Klang dan negeri berdekatan.

"Ketika saya dan enam rakan lain buat persembahan menerusi kumpulan kami yang dinamakan Caklempong Gemersik Inang di sebuah acara, ia menarik perhatian pengurusan Papa Jup Production Sdn Bhd.

"Mereka berminat melamar saya dan sudah pasti saya tak lepaskan peluang ini begitu sahaja. Ia sesuatu yang tak dirancang tapi inilah yang dinamakan rezeki," katanya.

Adharian bukanlah asing dengan muzik tradisional yang dianggap sudah menjadi sebahagian daripada darah dagingnya.

Dia dan kumpulannya sudah dikenali dan sering dijemput mengadakan persembahan dalam majlis korporat dan resepsi perkahwinan.

Malah mereka juga cukup dikenali dalam kalangan penduduk sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan kawasan sekitar yang sinonim dengan muzik caklempong.

"Alhamdulillah, jadual kumpulan kami memang padat. Cuma ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seperti orang lain, kami juga turut terkesan.

"Bagaimanapun saya manfaatkan tempoh rehat itu dengan membuat latihan vokal. Selain itu, dalam masa sama juga, saya menyanyikan lagu penyanyi lain (cover song) untuk memantapkan lagi vokal.

"Sekarang kami masih menunggu tawaran untuk mengadakan persembahan. Insya-Allah kami percaya rezeki akan ada," katanya yang menjadikan nyanyian sebagai kerjaya sampingan.

Mengulas keyakinannya terhadap lagu Kembalikan, gadis yang berasal dari Kuala Lumpur ini berkata, ia sebuah karya yang menarik dan hebat.

"Lagu ini mempunyai melodi yang indah dan mudah untuk diterima pendengar. Diakui awalnya saya agak canggung kerana berdepan dengan benda baharu.

"Namun saya buang perasaan kekok ketika pertama kali merakamkan suara di studio milik Sharon Paul. Saya ambil pendekatan buat persiapan awal serta buat latihan bagi memudahkan lagi proses rakaman suara.

"Saya berterima kasih kepada Papa Jup Production Sdn Bhd yang percayakan bakat saya. Sememangnya minat asal saya lebih terarah kepada lagu-lagu berentak tradisional namun saya tak menolak untuk menyanyikan lagu genre lain," katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 6:30am
d