rap

Metallica hormat Lady Gaga

Oleh Susunan Riadz Radzi

BAND heavy metal legenda, Metallica merasakan persembahan mereka bersama bintang pop, Lady Gaga di Grammy Awards pada 2017 lalu sebagai sesuatu yang tidak boleh dilupakan.

Penyanyi dan pemain gitarnya, James Hetfield ketika muncul dalam program The Howard Stern Show baru-baru ini berkata, dia cukup menghormati Gaga sebagai artis.

"Dia tiba awal dua jam daripada kami ketika latihan dan sudah sibuk berlatih tarian untuk persembahan itu. Dia seorang artis yang begitu kreatif," katanya.

Pemain dram, Lars Ulrich berkata, Gaga juga turut menggemari muzik metal.

"Dia beritahu saya, lagu Metal Militia daripada album sulung kami, Kill 'Em All pada 1983 adalah lagu kegemarannya satu ketika dulu," katanya.

Bagaimanapun, persembahan Metallica dan Lady Gaga di Grammy Awards ke-59 yang berlangsung di Los Angeles itu juga sesuatu yang terus diingati berikutan pelbagai masalah teknikal yang berlaku.

Antaranya kru pentas tidak menghidupkan mikrofon Hetfield hingga dia terpaksa berkongsi mikrofon dengan Gaga ketika menyampaikan lagu Moth Into Flame.

Lebih memburukkan keadaan, penyampai Laverne Cox pula tidak menyebut langsung nama Metallica.

Akibatnya selepas tamat persembahan, Hetfield membaling gitarnya kepada salah seorang kru serta menendang tiang mikrofon.

"Saya malu. Sudah lama saya tidak berasa marah. Ia sesuatu yang tidak patut berlaku. Namun, saya rasa ada hikmahnya juga apabila saya terpaksa berkongsi mikrofon dengan Gaga kerana mungkin itu yang dia mahu. Baharulah kerjasama itu betul-betul dapat dirasai," katanya dalam temu bual bersama New York Post selepas itu.

Bercerita mengenai kerjasama bersama Gaga, Hetfield berkata, Gaga seorang yang cukup bertenaga dan memiliki banyak idea.

"Walaupun cuma bercakap dengannya, anda dapat merasakan dia seorang yang sangat mengujakan," katanya.

Ulrich berkata, Gaga boleh dikatakan sempurna sebagai anggota 'kelima' Metallica.

"Suara, 'attitude', pakaian dan semua yang ada pada Gaga cukup hebat. Semangat hard rock dan metal memang ada dalam dirinya. Ia mudah untuk Gaga. Tak nampak seperti dibuat-buat, dia memang hebat," katanya.

Ketika itu, Metallica dicalonkan untuk kategori Lagu Rock Terbaik menerusi lagu Hardwired daripada album Harwired...To Self-Destruct, tetapi mereka tewas kepada lagu Blackstar nyanyian mendiang David Bowie.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 6:45am
d