rap

Erti adiwira sebenar

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BAGI pelanggan platform penstriman filem Netflix, tentunya sedar akan kehadiran filem baharu berjudul Project Power yang dibintangi Jamie Foxx, Joseph Gordon-Levitt dan Dominique Fishback.

Berkesempatan menemu bual barisan pelakonnya secara 'virtual' baru-baru ini, banyak perkara menarik yang dikongsikan mereka buat penonton Malaysia.

Berbeza dengan filem adiwira lain, Project Power mengisahkan mengenai kuasa luar biasa yang wujud apabila seseorang itu mengambil sejenis pil misteri.

Kuasa luar biasa itu mampu memberi kelebihan dan ada juga mampu menghancurkan orang yang tidak boleh mengawal kuasanya.

Jamie, Joseph dan Dominique masing-masing menghidupkan watak Art, Frank dan Robin dalam menyelamatkan keadaan dengan mencari petualang sebenar di sebalik pengedaran pil itu.

Jamie dalam temu bual bersama RAP baru-baru ini berkongsi definisi adiwira dari sudut pandangnya secara peribadi.

"Pada saya, adiwira adalah seperti satu jalan keluar dari sesuatu permasalahan. Dalam kata lain, adiwira ingin melakukan sesuatu yang luar biasa dan ia bagus.

"Definisi lain adalah seperti memakai 'cape' yang menjadi simbolik kepada adiwira. Kadang-kadang anda mahu nampak hebat tapi dalam masa tertentu, anda mahu jadikannya sebagai sesuatu yang buat anda rasa selesa," katanya.

Berkongsi mengenai gandingannya dengan Dominique, Jamie berkata, filem ini adalah bagi meraikannya.

"Bagi saya, Project Power adalah umpama satu keraian buat Dominique. Filem ini sudah cukup bagus, tapi untuk ada satu watak yang menunjukkan rasa kemanusiaan dan pada masa sama, ada kelemahan, itu sangat hebat," katanya.

Sementara itu, Joseph yang pernah membintangi filem adiwira The Dark Knight Rises bersetuju untuk terbabit dalam filem ini kerana Jamie.

"Selepas beberapa tahun berehat, menjalankan tanggungjawab sebagai bapa, saya kembali semula berlakon. Sebelum Project Power, saya membintangi filem 7500 dan selepas selesai, saya mahukan sesuatu yang menyeronokkan.

"Jadi, apabila membaca skrip filem ini, terlihat nama Jamie Foxx dan penggambaran dilakukan di New Orleans, saya terus terima. Ia benar-benar menyeronokkan," katanya.

Dominique pula ketika ditanya mengenai definisi adiwira memberitahu, kuasa sebenar adalah apabila kita dapat membantu orang lain.

"Definisi adiwira buat saya adalah seseorang yang menggunakan kemampuan dan kelebihannya untuk membantu orang lain.

"Ia boleh jadi dalam bentuk kata-kata atau apa saja bakat yang ada dalam diri. Kalau ia digunakan untuk kebaikan buat orang lain, kamu sudah menjadi adiwira," katanya.

Sebagai pelakon muda, Dominique juga menjawab pertanyaan media dan memberikan reaksinya sekiranya dia berpeluang untuk mengambil pil itu dan menjadi adiwira selama lima minit.

"Saya lebih suka untuk menegaskan mengenai kuasa dalaman yang ada dalam diri Robin kerana dia tidak mengambil pil itu dalam filem ini.

"Saya juga ingin semua orang di luar sana sedar bahawa setiap daripada kita memiliki 'kuasa' luar biasa dan dengan meneroka kemampuan kita akan menjadi satu pengalaman manis," katanya.

Project Power kini ditayangkan di Netflix dan menerima pelbagai reaksi daripada penonton di seluruh dunia.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 6:45am
d