rap

Fedtri Yahya tertanya-tanya dan hairan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENGACARA dan penulis lirik, Fedtri Yahya menganggap tindakan individu yang menulis di Twitter menyentuh isu berbaur perkauman mengenai pakaian tradisional India yang dipakai pelakon Mira Filzah adalah sesuatu yang mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Fedtri ketika dihubungi berkata, pakaian tradisi seperti sari sudah menjadi asimilasi budaya sejak zaman berzaman di negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum.

"Saya sendiri terkejut kerana kita sudah lama merdeka. Fesyen dan pakaian tradisi sudah berasimilasi dan orang kita sudah menggunakan tema Bollywood sejak berzaman.

"Bila ada individu yang menulis kenyataan seperti itu, saya terkejut dan tertanya-tanya, orang ini datang dari mana dan adakah dia baru wujud di Malaysia?" katanya kepada Harian Metro.

Menurut personaliti TV3 ini, sejak di bangku sekolah lagi kita semua sudah didedahkan dengan elemen perpaduan.

"Sejak sekolah, pelbagai acara kebudayaan diadakan kerana negara kita terdiri daripada masyarakat majmuk. Seluruh dunia tahu bahawa Malaysia terbina daripada perpaduan masyarakatnya.

"Jika di peringkat antarabangsa contohnya Miss World dan sebagainya, wakil negara kita tidak kiralah sama ada Cina atau India selalunya akan memakai busana yang melambangkan ciri-ciri budaya campuran yang ada di Malaysia," katanya.

Menurutnya, dalam bulan kemerdekaan ini, kita sepatutnya meraikan perbezaan itu.

"Dalam politik sudah ada pelbagai parti. Jadi, kalau boleh biarlah elemen lain seperti fesyen, muzik, sukan dan sebagainya menyatukan kita semua. Kita raikan bersama perbezaan budaya itu.

"Orang yang bersikap ingin memecahbelahkan masyarakat ini sepatutnya keluar dan bersosial dengan masyarakat. Saya sebagai penulis lirik lagu patriotik juga sedikit kecewa kerana sikap individu itu.

"Dalam lagu pun saya selalunya masukkan elemen pelbagai budaya untuk melambangkan perpaduan kita dan tak pernah terfikir untuk melacurkan budaya orang lain," katanya.

Isu itu timbul di Twitter semalam apabila ada individu yang memuat naik gambar Mira Filzah memakai sari dan menganggap pelakon itu menuai keuntungan daripada budaya orang lain.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 4:47pm
d